Jualan Agro Madani Mega tawar harga rahmah kepada pengunjung

Arthur bersama pengunjung yang membeli ayam dengan harga runtuh RM7 sekilogram. FOTO KPKM
Arthur bersama pengunjung yang membeli ayam dengan harga runtuh RM7 sekilogram. FOTO KPKM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Program Jualan Agro Madani Mega anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menawarkan harga rahmah kepada pengunjung untuk mendapatkan bekalan makanan.

Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, tetapi juga memperkenalkan produk usahawan tempatan dari seluruh negara.

Arthur menyantuni pengunjung yang membeli sepapan telur gred A dengan harga RM10. FOTO KPKM
Arthur menyantuni pengunjung yang membeli sepapan telur gred A dengan harga RM10. FOTO KPKM

Menurutnya, usaha tersebut mampu memantapkan semula ekonomi negara dan juga membantu isi rumah B40 serta M40 mendapatkan bekalan makanan dengan harga berpatutan.

“Bagi menangani peningkatan kos sara hidup, kami menawarkan bahan makanan yang segar kepada pengunjung dan bekalan yang dibawa adalah secara langsung daripada pihak pengeluar.

“Program seperti ini menjadi platform kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk agro makanan di bawah jenama LPP dan membuka peluang pengguna menikmati harga yang jauh lebih murah daripada pasaran luar.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung beratur untuk mendapatkan hasil ikan segar. FOTO KPKM
Pengunjung beratur untuk mendapatkan hasil ikan segar. FOTO KPKM

“Pengunjung boleh mendapatkan bekalan makanan seperti beras, telur, ayam, ikan dan sayur-sayuran daripada usahawan bimbingan LPP, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Jualan Agro Madani Mega yang diadakan di pekarangan tempat letak kereta pasar raya Lotus’s Ampang di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KPKM, Datuk Azah Hanim Ahmad; Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim.

Program berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 Januari, dari 8 pagi sehingga 10 malam.

(Dari kiri) Mahfuz dan Arthur bergambar bersama keluaran produk usahawan tempatan. FOTO KPKM
(Dari kiri) Mahfuz dan Arthur bergambar bersama keluaran produk usahawan tempatan. FOTO KPKM

Sementara itu, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, menerusi program tersebut pengguna dapat melakukan penjimatan sebanyak 10 hingga 30 peratus.

Jelasnya, rakyat perlu menggunakan peluang itu bagi mendapatkan produk daripada usahawan tempatan.

“Program ini penting kepada usahawan bagi mengambil peluang untuk memperkenalkan barang keluaran mereka sama ada dari segi tanaman atau produk daripada industri hiliran.

Arthur bergambar dengan hasil tanaman dari Cameron Highland dalam sesi bersama usahawan. FOTO KPKM
Arthur bergambar dengan hasil tanaman dari Cameron Highland dalam sesi bersama usahawan. FOTO KPKM

“Kita juga mempertemukan usahawan dengan pemain industri dalam program ini bagi mengembangkan potensi produk mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengunjung yang hadir turut mengambil peluang tersebut untuk mendapatkan bekalan makanan seperti telur dan beras dengan harga rahmah.

Penjawat awam, Azhar Abdul Rahim, 43, berkata, harga bagi sepapan telur gred A yang dijual bukan sahaja murah tetapi berkualiti.

Azhar
Azhar

Bapa kepada empat orang cahaya mata itu berharap program tersebut diadakan dengan lebih kerap bagi membantu menangani kos sara hidup yang semakin menekan warga kota.

“Harga sepapan telur gred A yang dijual dengan harga RM10 cukup murah dan berbaloi untuk bantu ringankan beban rakyat.

“Saya selalu beli telur gred C tetapi harganya kadangkala boleh mencecah sehingga RM12 dan pada hari ini saya cukup gembira dapat beli telur harga murah dengan kualiti terbaik,” ulasnya.

Bagi pekerja p-hailing, Zainal Arifin Sulangwar, 31, beras 10 kilogram (kg) yang dijual pada harga RM26 bagaikan ‘durian runtuh’ kepada pengguna.

Zainal Arifin
Zainal Arifin

“Beras yang dijual pada hari ini cukup berkualiti dengan harga murah kerana kalau beli di kedai selalunya dijual lebih RM40.

“Kalau nak dibandingkan harga perbelanjaan harian barangan makanan memang jauh lebih murah pada hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, penjawat awam, Suzana Jinatin, 43, berkata, inovasi pelbagai produk hiliran yang dijual adalah enak dan berkualiti.

Suzana
Suzana

Wanita yang berasal dari Sabah itu hadir untuk mencuba produk agromakanan yang dikeluarkan oleh usahawan bimbingan LPP serta agensi di bawah KPKM.

“Hari ini saya beli produk strawberi sebanyak tiga bekas dari Cameron Highlands dan keropok dari Kelantan.

“Produk hiliran yang dijual memang sedap dan saya lihat seawal jam 8 pagi tadi pengunjung sudah mula beratur membeli barang keperluan,” katanya.

Info senarai harga barang makanan dalam Program Jualan Agro Madani Mega:

- Ayam: RM12 sekilogram.

- Daging biasa: RM35 sekilogram

- Tujuh bungkus sayur: RM10.

- Telur: RM10 sepapan untuk satu isi rumah

- Beras 10kg: RM26

- Udang: RM28 sekilogram

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!