Lelaki Jepun tidak bekerja tetapi ada empat isteri

Watanabe (kanak) bersama tiga isteri dan dua anak mereka. - Agensi
Watanabe (kanak) bersama tiga isteri dan dua anak mereka. - Agensi
A
A
A

TOKYO - Media Jepun baru-baru ini melaporkan kisah kontroversi seorang lelaki Jepun berusia 35 tahun didakwa mempunyai empat isteri dan tiga anak, namun tidak bekerja hampir 10 tahun, lapor Oddity Central.

Ryuta Watanabe dari Sapporo, di Pulau Hokkaido telah menjadi sensasi kerana gaya hidup yang tidak konvensional.

Watanabe dilaporkan tinggal bersama tiga daripada empat isterinya dalam satu rumah dan mereka dikatakan sangat mesra antara satu sama lain.

Malah, dia dikatakan bergantung pendapatan daripada isteri-isterinya untuk membeli barangan peribadi selepas tidak bekerja hampir sedekad.

Kehidupan berpoligami Watanabe dipaparkan dalam program berita AbemaTV sehingga mencetuskan perdebatan hangat di Jepun di mana amalan berkahwin lebih daripada satu wanita dianggap melanggar undang-undang negara matahari terbit itu.

"Saya suka wanita dan menyayangi mereka sama rata," katanya kepada AbemaTV.

Penganggur itu tinggal serumah bersama tiga isterinya dan mereka mempunyai bilik masing-masing.

Isteri pertamanya berusia 27 tahun manakala kedua dan ketiga masing-masing berusia 24 dan 22 tahun.

Artikel Berkaitan:

Hasil perkongsian dengan isterinya itu, Watanabe mempunyai dua anak berusia dua dan setahun dengan isteri pertamanya manakala bayi berusia lima bulan dengan isteri kedua.

Bagaimanapun, Watanabe tidak menjelaskan mengapa isteri keempatnya tinggal secara berasingan.

Keempat-empat isteri Watanabe berkata mereka sudah mengetahui mereka bukannya satu-satunya pasangan romantik dan suami mereka adalah penganggur.

Namun, mereka tidak mempunyai masalah dan malah berkerjasama menampung perbelanjaan keluarga sebanyak 850,000 yen (RM27,275) dan Watanabe menjadi 'suri rumah'.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan poligami,"kata Watanabe dengan memberi contoh Tokugawa Ienari, seorang shogun paling lama berkhidmat dalam Keshogunan Tokugawa dan mempunyai 53 orang anak.

Watanabe menambah, dia berhasrat untuk mempunyai 54 orang anak. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!