Empat maut kereta api, pusat mengundi dibakar menjelang pilihan raya Bangladesh

empat penumpang tren komuter Benapole Express, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh selepas tren berkenaan dibakar. Foto Reuters
empat penumpang tren komuter Benapole Express, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh selepas tren berkenaan dibakar. Foto Reuters
A
A
A
DHAKA (Bangladesh) - Bangladesh terus dicemari dengan insiden keganasan pada Ahad menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan di negara ini, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu insiden berkaitan, sekurang-kurangnya empat penumpang tren komuter Benapole Express, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh selepas tren berkenaan dibakar.

Lapan mangsa yang melecur dilaporkan dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Institut Lecur dan Pembedahan Plastik Kebangsaan Sheikh Hasina di Dhaka, kata penyelaras unit Dr Samanta Lal Sen kepada pemberita.

Sebanyak empat gerabak kereta api itu didakwa dibakar pada malam Jumaat sejurus tiba di Dhaka dari bandar Jessore, menurut pihak bomba.

Susulan dakwaan sabotaj, pihak berkuasa menggantung operasi 31 kereta api sepanjang hujung minggu.

Selain itu, beberapa pusat pengundian di sekolah rendah di tengah Gazipur, barat daya Khulna, daerah utara-tengah Mymensingh dibakar pada malam Jumaat dan awal Sabtu.

Perdana Menteri Sheikh Hasina mengucapkan takziah dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku manakala parti pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menuntut siasatan yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bulan lalu, empat orang maut dalam kejadian kebakaran tren komuter yang sama.

Parti pembangkang yang diketuai oleh BNP mendesak pilihan raya kali ini diboikot, menyifatkannya sebagai cubaan "berperingkat" untuk menghalalkan pemerintahan parti pemerintah Liga Awami.
Artikel Berkaitan:


Pembangkang menuntut sistem sementara yang berkecuali untuk memantau pilihan raya tetapi ditolak kerajaan dengan menyatakan ia tidak mengikut perlembagaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!