Doa, banyak membaca antara resipi kejayaan Ramlee Awang Murshid

Ramlee Awang Mursyid. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Ramlee Awang Mursyid. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Berdoa dan menelaah buku pelbagai genre menjadi antara resipi kejayaan yang diamalkan novelis terkenal tanah air Ramlee Awang Murshid ketika sesi perkongsiannya dalam Konvensyen Penulisan Seram dan Thriller di Festival Seram Buku Prima pada Sabtu.

Menurutnya, nasihat itu ditujukan khusus buat golongan penulis amatur yang mahu berjinak-jinak dalam dunia penulisan agar dapat menghasilkan sebuah karya bagus sehingga berjaya menjadi pelapis pada masa akan datang.

Tambahnya, kejayaan pada hari ini adalah berkat doa dan sokongan daripada peminat di luar sana terutama sekali terhadap karya yang meninggalkan kesan hebat seperti Laksamana Sunan dan Tombiruo.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana telah membaca semuanya, saya tak mampu nak membalas segala jasa cuma mampu berdoa agar ALLAH SWT beri lebih baik untuk kalian,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Konvensyen berkenaan turut menampilkan panelis daripada pegawai Bomba, Mohd Saiful Munir Mohd Isa; Pegawai Turus D13 Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Polis (ASP) Shaharudin Rajab; penulis Buku Prima, Azhar Amirulhisyam dan ramai lagi.

Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Januari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Buletin TikTok Seram, pendedahan eksklusif wartawan Sinar Harian dan penampilan khas Pengarah Filem Seram, Dr Ahmad Idham yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Sementara itu, penulis, Maria Kajiwa memaklumkan, beliau terpanggil untuk berkongsi kaedah tentang membina tapak dalam dunia seram-thriller kepada pengunjung dan cara seorang pengkarya amatur boleh bermula dengan Buku Prima sehingga mampu membina nama besar dalam industri.

Maria Kajiwa. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Maria Kajiwa. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pembabitannya dalam dunia penulisan sejak 1984 bermula dengan puisi, sajak, cerpen dan novel serta berkarya dengan pelbagai genre selain thriller seperti aksi dan sains fiksyen.

“Tidak dinafikan, pengalaman mistik ketika menulis karya seram-thriller sememangnya jadi kebiasaan buat penulis kerana kita menceritakan kisah entiti sebegini.

“Kita tak boleh lari dengan gangguan tetapi kita perlu tahu cara untuk mengelakkan gangguan terlalu kuat iaitu doa yang berterusan kepada ALLAH SWT.

“Ketika menulis sesuatu cerita, apa yang saya amalkan adalah berdoa sebelum, semasa dan selepas menulis supaya jiwa tidak hanyut atau diganggu,” ujarnya.

Ditanya mengenai tempoh menyiapkan suatu karya, Maria mengakui masa diperuntukkan adalah anggaran satu hingga tiga bulan bahkan bertahun-tahun, bergantung kepada tahap kesukaran manuskrip.

“Fakta, tempat dan latar masa mungkin merumitkan keadaan untuk menyiapkan sesuatu karya dan mengambil masa lama,” ulas beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!