Dayung perahu cari ikan, belut tengah sawah
TUMPAT - Usaha sepasang suami isteri dari Kampung Kubang Sawa di sini meredah sawah padi menggunakan perahu kecil menambah rezeki mereka sepanjang musim banjir.
Rahimah Che Mat, 51, dan Mail Pak Chu, 74, keluar seawal jam 8 pagi setiap hari dari rumah ke sawah yang masih digenangi air setinggi hampir satu meter untuk mencari ikan dan belut.
Menurut Rahimah, mereka akan mendayung perahu ke tengah sawah seluas kira-kira dua hektar untuk memasang pukat dan tukir belut.
"Paras air masih tinggi dan dasar sawah licin memerlukan perahu untuk bergerak kerana mengelakkan bahaya," katanya.
Biasanya, mereka akan memasang pukat dan tukir di lokasi tertentu sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 12 tengah hari.
Nenek kepada 15 cucu itu memberitahu akan kembali semula pada waktu petang untuk mengangkat pukat dan membawa pulang hasil tangkapannya.
Jelasnya lagi, ikan yang ditangkap akan dijual dan dijadikan pekasam kerana turut mendapat sambutan daripada penduduk sekitar kampung itu.
"Biasanya kami mendapat antara empat hingga tujuh kilogram sehari termasuk ikan haruan, ikan keli dan ikan puyu tetapi bergantung pada keadaan air dan cuaca," katanya.
Bagaimanapun kongsi ibu kepada lapan anak itu, ikan mudah didapati ketika paras air tinggi dan pendapatan mereka juga akan bertambah.
"Alhamdulillah ikan dan belut pada musim bah menjadi rezeki tambahan buat kami yang melakukan kerja kampung dan pesawah padi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!