Bunyi dengusan bawah rak baju rupanya 'King Cobra' sedang berehat
BALING - Seorang warga emas yang sedang berehat di rumahnya di Kampung Keledang, di sini pada petang Sabtu, dikejutkan dengan bunyi dengusan sebelum melihat seekor ular di bawah rak baju.
Bimbang keselamatannya, Omar Ishak, 60, kemudiannya menghubungi anak saudaranya, Muhammad Redzuan Wahab, 34, yang tinggal bersebelahan untuk datang ke rumahnya.
Muhammad Redzuan yang kebetulan berada di rumahnya bergegas ke rumah bapa saudaranya dan terkejut apabila melihat seekor ular tedung selar sedang 'berehat' di bawah rak baju.
“Saya melihat ular tedung selar itu sangat besar dan tidak berani mengambil risiko untuk menangkapnya sendiri.
"Saya kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.40 petang dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.
Menurutnya, lima anggota kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati ular tedung selar itu masih berada di bawah rak baju berkenaan.
"Ular tedung selar atau lebih dikenali sebagai 'King Cobra' sepanjang lima meter dan beratnya 20 kilogram akhirnya berjaya ditangkap dan dibawa pulang ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut," katanya.
Mohd Faizol berkata, peralihan cuaca sejak kebelakangan ini dipercayai menjadi punca semakin banyak kes ular bersaiz besar menceroboh masuk rumah penduduk sekitar Baling.
“Dalam tempoh enam hari pada bulan ini, pihak APM Baling menerima laporan 12 kes berkaitan ular yang mana enam kes itu membabitkan ular tedung selar,” katanya.
Tambah beliau, statistik sepanjang tahun lalu menunjukkan APM Baling mengendalikan 676 kes tangkapan ular.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!