20 kali dapur runtuh dibadai Sungai Pergau
JELI - Selepas lebih 20 kali dapur rumah kedainya rosak dan runtuh dibadai air Sungai Pergau di Kampung Jeli Lama di sini, seorang warga emas seolah-olah sudah lali berdepan dengan bencana itu.
Bahkan, Abdullah Mohamad, 81, dan isterinya, Hasnah Mamat, 45, dengan reda meneruskan perniagaan dalam keadaan serba kekurangan selepas terjejas bencana banjir.
Abdullah berkata, banjir gelombang ketiga pada Monsun Timur Laut (MTL) minggu lalu menenggelamkan warung kayu beratapkan zink tersebut hingga paras dua meter sekali gus meranapkan bahagian dapur selain menghanyutkan meja makan serta tong gas.
Menurutnya, ketika air sedang naik setinggi 0.5 meter, mereka diselamatkan dengan menaiki bot oleh pasukan penyelamat lalu dibawa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jeli 1.
“Kami berniaga nasi pada waktu pagi sudah lebih 20 tahun di warung ini dan saban tahun terbiasa kena banjir.
“Kami sudah tahu, setiap kali banjir, sungai akan melimpah dengan arus deras menenggelamkan warung dan selepas air surut, akan ada bahagian kedai yang rosak atau hanyut seperti dapur,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.
Menurut Abdullah lagi, Sungai Pergau yang terletak betul-betul di belakang rumah kedai itu hanya berjarak 20 meter menyebabkan berisiko rosak kerana banjir.
Keadaan banjir itu juga katanya, meninggalkan lumpur yang tebal dan sukar untuk dibersihkan.
“Baru-baru ini, lumpur setinggi 0.2 meter dan payah untuk dicuci.
“Bagaimana pun kami tetap perlu mencucinya kerana warung inilah tempat kami tinggal dan punca pendapatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Menurut bapa lima anak itu, walaupun keadaan sudah biasa dilalui, dia tetap berwaspada dan segera menyelamatkan diri serta keluarga jika melihat keadaan yang berbahaya pada musim banjir.
“Kami tetap berjaga-jaga kerana air boleh meningkat mendadak hanya hujan beberapa jam sahaja di kawasan ini.
“Kami akan segera keluar dari kampung untuk menyelamatkan diri jika melihat keadaan sungai melimpah atau arus semakin deras,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!