Sindiket pelacuran ‘outcall girl' tumpas
KUALA LUMPUR - Seramai 48 wanita warga asing yang disyaki terlibat dengan sindiket pelacuran ‘outcall girl' ditahan dalam operasi di ibu kota pada Jumaat.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya menahan 32 wanita warga Indonesia, 13 wanita warga Thailand, tiga wanita warga Vietnam berusia 18 hingga 36 tahun dalam operasi yang bermula pada jam 8 malam.
"Kita turut menahan seorang lelaki warga Afghanistan, seorang lelaki yang dipercayai sebagai transporter dan dua lelaki tempatan sebagai penjaga premis berusia 34 hingga 44 tahun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jafri berkata, hasil semakan awal mendapati lapan wanita warga Thailand yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial yang masih sah laku, manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi telah merampas sejumlah kondom, peralatan seks, lapan pasport Thailand, wang tunai sebanyak RM300, tuala, peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah kereta Perodua Axia," katanya.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah melakukan promosi wanita warga asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.
"Wanita warga asing yang dipilih akan diuruskan penghantarannya ke hotel atau tempat yang dikehendaki pelanggan melalui seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter," katanya.
Menurutnya, bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan antara RM400 hingga RM1,200 mengikut pakej yang disediakan oleh sindiket yang disyaki telah beroperasi selama setahun.
"Transaksi bayaran yang dilakukan pelanggan adalah melalui tunai atau secara dalam talian sebelum 'outcall girl' diserahkan kepada pelanggan," katanya.
Jafri berkata, operasi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
"Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu sebelum pasukan operasi telah diatur gerak ke premis dan melaksanakan serbuan," katanya.
Beliau berkata, kesemua warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Mereka telah dibawa di Depot Imigresen Semenyih, Selangor, manakala seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
"Dua lagi lelaki tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala seramai lima lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!