Bot nelayan gajikan PATI ditahan, 300kg hasil laut dirampas

Bot nelayan kelas C yang menggaji pekerja asing ditahan di kedudukan kira-kira 11 batu nautika barat daya Sungai Besar pada Sabtu.
Bot nelayan kelas C yang menggaji pekerja asing ditahan di kedudukan kira-kira 11 batu nautika barat daya Sungai Besar pada Sabtu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kegiatan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar dengan penahanan sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan kira-kira 11 batu nautika barat daya Sungai Besar di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seramai lima warga Myanmar berumur dalam lingkungan 16 hingga 46 tahun.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, semua PATI ditahan itu dibayar gaji RM1,000 sebulan dengan komisen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.

"Bagaimanapun, semua mereka berjaya ditahan oleh pasukan peronda Maritim Malaysia ketika bot nelayan itu sedang melakukan aktiviti perikanan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Abdul Muhaimin berkata, semua mereka yang ditahan berikutan kegagalan mereka mengemukakan permit kerja yang sah atau sebarang dokumen kebenaran bekerja di atas bot.

Nelayan warga asing yang dicekup dalam operasi berkenaan.
Nelayan warga asing yang dicekup dalam operasi berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot nelayan berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah," ujarnya.

Beliau memberitahu, kesemua kru, bot dan hasil perikanan seberat kira-kira 300 kilogram dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara," tambahnya.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!