Penunjuk perasaan tinggalkan Zon Hijau

Anggota keselamatan Iraq ditempatkan di hadapan Kedutaan AS di Baghdad selepas kumpulan protes pro-Iran bersurai semalam. - Foto: AFP
Anggota keselamatan Iraq ditempatkan di hadapan Kedutaan AS di Baghdad selepas kumpulan protes pro-Iran bersurai semalam. - Foto: AFP
A
A
A

BAGHDAD - Penunjuk perasaan pro-Iran beredar daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baghdad semalam selepas diarahkan Unit Mobilisasi Popular (PMU) atau Hashed al-Shaabi untuk berbuat demikian sehari selepas protes dramatik di pekarangan premis terbabit.

"Anda telah menyampaikan mesej anda," kata kumpulan terbabit dalam satu kenyataan yang disusuli dengan tindakan mereka mula merobohkan khemah masing-masing dan mula meninggalkan Zon Hijau tersebut.

Kelmarin, ribuan penyokong PMU terbabit berang dan mengerumuni kedutaan terbabit ketika demonstrasi membantah serangan udara dilancarkan AS yang menyebabkan 25 anggota Hashed terbunuh pada Ahad lalu.

Tunjuk perasaan itu telah menyebabkan kekecohan di Zon Hijau tersebut yang turut menempatkan bangunan kerajaan dan kedutaan asing lain.

Terdahulu, Perdana Menteri, Adel Abdel Mahdi menggesa kumpulan penunjuk perasaan terbabit meninggalkan kawasan itu, namun tidak dihiraukan mereka yang bertindak mendirikan khemah di luar tembok perimeter premis tersebut.

Anggota keselamatan turut melepaskan gas pemedih mata dan menyebabkan kira-kira 20 orang cedera.

Perkembangan itu berlaku selepas Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper mengumumkan Washington akan menghantar kira-kira 750 anggota tentera ke Timur Tengah sebagai respons terhadap insiden itu. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!