Tiga daerah di Johor diramal banjir hari ini - JPS

Banjir dijangka berlaku secara berperingkat di beberapa daerah di Johor iaitu Kulai, Johor Bahru dan Pontian hingga 5 petang Ahad.
Banjir dijangka berlaku secara berperingkat di beberapa daerah di Johor iaitu Kulai, Johor Bahru dan Pontian hingga 5 petang Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Banjir dijangka berlaku secara berperingkat di beberapa daerah di Johor iaitu Kulai, Johor Bahru dan Pontian hingga 5 petang Ahad.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran dalam kenyataan memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (buruk) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pagi Ahad.

Menurut kenyataan berkenaan, lokasi dijangka mengalami banjir adalah di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar sungai terlibat di tiga daerah terbabit iaitu Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dan Sungai Siku di Kampung Murni Jaya di Kulai.

Di Johor Bahru pula membabitkan kawasan rendah di sekitar Sungai Tiram di Kampung Dagang, Sungai Skudai di Kampung Laut dan Kampung Pasir, manakala di Pontian lokasi diramal terjejas adalah di sekitar Sungai Ayer Hitam di Kampung Paya Embun.

"Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Daerah-daerah lain yang tidak termasuk dalam amaran banjir monsun ini diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir," menurut kenyataan itu.

Orang ramai diminta melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!