Mahfuz, Dr Hatta dilantik Naib Presiden Amanah

Gambar dari kiri: Mahfuz, Mohd Hatta
Gambar dari kiri: Mahfuz, Mohd Hatta
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Mahfuz Omar dan bekas Setiausaha Agung Datuk Dr Mohd Hatta Ramli masing-masing dilantik sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bagi sesi 2023-2026.

Pelantikan baharu itu turut menyaksikan Muhammad Faiz Fadzil menggalas jawatan Setiausaha Agung parti.

Muhammad Faiz berkata, pelantikan itu disokong sebulat suara dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional (JKP) yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Mohamad Sabu pada Ahad.

"Pelantikan jawatan-jawatan pengurusan ini merangkumi gandingan pimpinan berpengalaman dan muda dalam kalangan 27 orang JKP yang dipilih semasa Konvensyen Amanah Nasional yang berlangsung pada 24 Disember lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu, Norhayati Bidin dan Khalid Abd Samad masing-masing mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Pengarah Komunikasi manakala bekas ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya.

Selain itu, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat turut dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Sumber Manusia.

"Bagi mengangkat suara akar umbi, pelantikan Pengerusi Amanah di peringkat negeri akan dibuat dalam mesyuarat Amanah Nasional yang akan datang setelah notis bertulis yang cukup diberikan kepada setiap kawasan Amanah seluruh negara bagi menamakan calon yang sesuai dan layak untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh presiden dan JKP,” katanya.

Muhammad Faiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia berkata, Mesyuarat Amanah Nasional hari ini turut meluluskan kerangka pelan strategi parti yang dicapai menerusi permukiman yang diadakan semalam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, permukiman tersebut diadakan dengan objektif untuk menguatkan parti melalui agenda mengukuhkan organisasi, membina kemantapan ahli serta mengasaskan identiti perjuangan dan pendekatan politik yang disegani rakyat berteraskan prinsip amanah, adil dan rahmat untuk semua.

Pada pemilihan 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang diadakan pada 24 Disember lepas, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dipilih sebagai Presiden Amanah untuk penggal ketiga.

Selain itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pula dipilih sebagai Timbalan Presiden, manakala Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Dr Siti Mariah Mahmud, masing-masing dipilih sebagai Naib Presiden parti. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!