Pelajar 'bayar' pengawas, guru juara pertandingan video pendek rasuah

Tangkap layar video dicipta oleh Diana.
Tangkap layar video dicipta oleh Diana.
A
A
A

SHAH ALAM - Aksi pelajar memberi wang kepada pengawas dan guru dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan video pendek dengan tema ‘Bersatu Menentang Korupsi’ sempena Bulan Integriti dan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2023 (HARA 2023) yang diadakan 1 hingga 28 Disember lalu.

Video yang dicipta Diana Bahari itu mengungguli tempat pertama dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 manakala tempat kedua dimenangi Khairul Aizat Abdul Rahman yang menerima RM1,000 menyentuh mengenai rasuah dalam membuat lesen kenderaan.

Seterusnya, lakonan pemberi rasuah untuk dapatkan tender projek oleh Muhammad Najmi Aiman Nordin berjaya mendapat tempat ketiga dengan mambawa pulang RM700.

Selain itu, kisah lelaki menolak rasuah yang ditawarkan apabila memikirkan nasib keluarganya selepas ditangkap oleh Wan Izman Shah Ismail menjadi pemenang keempat dan memenangi RM500 manakala video dihasilkan ChooYee Chin pula di tangga kelima menerima RM300 memaparkan aksi rasuah di kalangan penjawat awam.

Pertandingan berkenaan merupakan anjuran bersama Ikram, Ikram Muda Malaysia, Sinar Harian, Ajar Demokrasi dan Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP).

Pemenang utama pemenang utama pertandingan video pendek. Gambar kecil dari kiri: Anas, Nurhayati
Pemenang utama pemenang utama pertandingan video pendek. Gambar kecil dari kiri: Anas, Nurhayati

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, selain pemenang tersebut, dua peserta dipilih memenangi hadiah khas juri iaitu Anneta Zaity Zainal dan Muhammad Nazmi Rosli.

"Penjurian video-video tersebut dinilai melalui ketetapan tema, pesanan dan naratif, kreativiti serta pengeditan dan kualiti.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua video tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri. Seperti video yang dihasilkan Diana yang menunjukkan rasuah ini sebenarnya boleh terjadi pada peringkat rendah lagi.

"Jika tidak dikekang, ia boleh membarah menjadi satu aktiviti jenayah yang dinormalisasikan. Apa yang disampaikan itu menunjukkan realiti yang sedang berlaku hari ini," ujarnya.

Menurutnya, pengkarya video tersebut juga berjaya meletakkan situasi itu benar-benar berlaku dan ia tidak boleh diteruskan.

Tambah beliau, kita perlu betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Video-video berkenaan juga sangat bagus yang cuba disampaikan dalam pelbagai bentuk kesenian tersendiri seperti sajak, lakonan dan bayangan akan datang.

"Dapat dilihat jelas mereka mengajak penonton berfikir secara kritikal yang rasuah ini berpotensi ada dalam diri setiap individu masyarakat yang mengalami punca tertentu seperti desakan masalah (kewangan) selain ketamakan dan peluang. Kesan-kesan apabila mengambil rasuah turut mereka dedahkan.

"Kita harap pesanan yang disampaikan itu dapat disebarluaskan lagi, video terbabit sangat ringkas namun padat dengan mesej serta mudah difahami oleh orang ramai," ujarnya.

Seramai 10 peserta diumum sebagai pemenang saguhati iaitu; Mohamad Zikri Haizan, Muhamad Fikri Pauzi, Syarifah Saluahni Ariffin, Mohd Redzuan Hussin, Alya Batrisyia Akram@Amir, Amin Nur Aizat Mohammad Isa, Mohd Huzaifi Mat Ail, Muhammad Hafiz Fazli Md Syahrom, Yeap Cheng Lim dan Bahrin Ahmad Basir.

Sementara itu, Eksekutif Penyelidik dan Advokasi, Jabatan Agenda Nasional, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Anas Hasbullah berkata, pertandingan video pendek itu mencapai objektif utama bertujuan untuk melihat kefahaman masyarakat tentang jenayah rasuah.

"Walaupun jumlah penyertaan tidak mencapai apa yang kami anggarkan, kami kagum dengan sambutan yang menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!