Pengganti Maszlee akan diumumkan sedikit masa lagi: Dr Mahathir
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed akan mengumumkan Menteri Pendidikan baharu dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan berkuat kuasa esok.
Dr Mahathir berkata, beliau sebelum itu menerima surat peletakan jawatan Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam hari ini.
“Yang Berhormat Dr Maszlee Malik telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada saya pada hari ini.
"Saya menerima peletakan jawatan tersebut berkuatkuasa 3 Januari 2020. Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota Kabinet.
"Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” katanya melalui kenyataan media dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Maszlee hari ini dalam satu sidang akhbar di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuknya mengemudi KPM.
Maszlee adalah bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Mac 2018, sebelum dipilih menjadi calon di Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau memperoleh 18,157 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Liang Teck Meng yang menerima 14,682 undi serta calon Pas, Mohd Jubri Selamat (2,983 undi), sekali gus menang dengan majoriti 3,475 undi.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya pulangkan jawatan ini kepada Perdana Menteri..'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!