Budak perempuan ditemukan lemas di Pulau Banding

Mangsa ditemui pada kedalaman 1.8 meter di dasar tasik. (Gambar hiasan) Foto 123RF
Mangsa ditemui pada kedalaman 1.8 meter di dasar tasik. (Gambar hiasan) Foto 123RF
A
A
A

GERIK - Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ditemukan lemas berhampiran rumah bot di Jeti Mat Shah, Pulau Banding dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat kes diterima Balai Polis Bersia sekitar jam 8.20 malam berkaitan kejadian lemas.

Menurut beliau, pasukan polis digerak ke tempat kejadian dan siasatan awal dilakukan dengan memeriksa badan mangsa serta kawasan sekitar.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur-unsur jenayah. Berdasarkan temu bual dengan bapa mangsa berusia 40 tahun, mangsa dilihat bermain air bersama rakan di tempat letak bot jeti tasik berkenaan sekitar jam 6 petang.

"Dia yang bekerja di Pulau Banding menyedari anaknya hilang setengah jam kemudian dan pencarian dilakukan bersama rakan-rakannya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Zulkifli berkata, mangsa kemudian ditemui sekitar jam 6.50 petang pada kedalaman 1.8 meter di dasar tasik berkenaan dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Gerik.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik dan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa akibat lemas.

"Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa tidak menjumpai apa-apa kecederaan atau sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!