Lelaki setia jaga isteri hilang daya penglihatan, ingatan
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki, Asdina Ariffin Suwadi, 32, dari Taman Bertam Impian di sini, tidak menyangka kehidupannya berubah sekelip mata selepas isteri disahkan mengidap Tibi Meningitis pada tahun 2022.
Bermula dari saat itu isterinya, Noor Syamimi Rohim, 33, bukan sahaja hilang daya penglihatan malah lebih menyedihkan tidak dapat mengingati kenangan bersama termasuk hari bahagia saat diijab kabulkan.
Asdina Ariffin berkata, namun semua itu bukan alasan untuk dia meninggalkan Noor Syamimi, apatah lagi menduakannya kerana pada ketika inilah Noor Syamimi memerlukan sokongan untuk pulih dan sabar dengan ujian yang menimpanya.
Menurutnya, walaupun pada awalnya menghadapi kesukaran untuk menguruskan isteri memandangkan tidak pernah berpengalaman menjaga orang sakit, namun dia terus belajar termasuk menguruskan Noor Syamimi dan membantunya melakukan senaman dan fisio setiap hari.
Katanya, Noor Syamimi menjadi kekuatan untuk dia lebih cekal melalui dugaan ini dan kerana itu dia menggunakan platform media sosial, TikTok untuk berkongsi kisah mereka berdua semata-mata untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada orang lain.
"Kerana saya tahu, pada ketika ini juga ada insan lain yang sedang diuji, dan saya kongsikan kisah ini bukanlah untuk meraih simpati tapi sebagai motivasi agar yang sakit diberikan sokongan, dan yang menjaga sakit diberikan semangat.
"Malah hadiah-hadiah yang diberikan pengikut di media sosial itu juga saya kongsikan dan berikan semula kepada orang lain yang memerlukan agar mereka dapat mendoakan isteri saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bertam Impian di sini, pada Ahad
Mengimbau kembali detik-detik perubahan isterinya, dia yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, keadaan berlaku terlalu drastik iaitu ketika takbir raya Aidiladha pada tahun 2018, Noor Syamimi secara tiba-tiba menjerit dan memberitahu kepalanya berpusing selain keadaannya semakin lemah ketika berada di kampung isterinya Kodiang, Kedah.
Menurutnya, segera membawa isteri ke Hospital Tuanku Fauziah, Perlis dan dalam tempoh mendapatkan rawatan, doktor memaklumkan isterinya mengidap jangkitan kuman pada bahagian otak sebelum dia meminta isteri dipindahkan ke Hospital Melaka.
Katanya, kemudian diberitahu bahawa cecair pada bahagian otak Noor Syamimi mengalami masalah dan mereka memberikan pilihan sama ada biarkan keadaan isteri begitu atau menjalani pembedahan membuang lebihan cecair namun risikonya 50-50.
"Jadi saya memilih untuk melakukan pembedahan, dan pada pembedahan kedua, penglihatannya mula kabur hingga tidak dapat melihat selain mdaya ingatannya mula lemah dan tidak dapat mengingati banyak perkara," katanya.
Tambahnya, kenangan yang tidak dapat dilupakan sebelum Noor Syamimi hilang ingatan, apabila isterinya akan berdoa pada Allah untuk memindahkan sakit yang sedang dia alami kepada dirinya.
"Pernah saya demam, dia kata pada saya dah berdoa pada ALLAH supaya pindahkan sakit saya kepadanya, dan esoknya alhamdulillah saya sihat dan dia pula lemah.
"Sehinggakan begitu sekali tindakan Noor Syamimi sebagai seorang isteri, dia memang wanita yang baik dan berdikari, jadi tidak mungkin untuk saya berkahwin lain dan membiarkannya keseorangan, " katanya lagi.
Jelasnya, berharap ada sinar untuk dia melihat isteri yang mula dikenali sejak tahun 2017 pulih kembali dan mengingati setiap kenangan bersama.
"Saya mohon semua mendoakan isterinya saya, agar dia pulih seperti sebelum ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!