Jadi 'cybertrooper' bukan alasan untuk buat dosa - Khairuddin
SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tugasan sebagai 'cybertrooper' tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membuat dosa.
Menurutnya, menyebarkan berita palsu atau yang tidak dapat disahkan kebenaran adalah perkara besar bukannya kecil.
"Ia meniti dari bibir ke bibir dengan mudah tapi kesannya menghancurkan masyarakat dan negara.
"Mencipta berita palsu adalah dosa besar. Menyebarkannya tanpa pengesahan juga adalah dosa.
"Jangan jadikan tugasan 'cybertrooper' sebagai alasan berbuat dosa," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Ujar beliau, persepsi dan berita palsu merosakkan masyarakat dan negara.
Tambahnya lagi, pengajaran boleh diambil daripada kisah nama baik Ummul Mukminin Aisyah radiyallahu anha yang cuba dicemari dengan persepsi jahat dicipta daripada berita bohong dan palsu.
"Kononnya beliau melakukan perkara keji dengan Sofwan bin Mu'attal radiyallahu anhu hanya kerana Sofwan menumpangkan Aisyah kenderaan untuk pulang ke Madinah selepas ketinggalan rombongan Nabi (Rasulullah SAW).
"Kesannya empat orang sahabat terlajak membuat tuduhan keji zina terhadap isteri Rasulullah SAW," katanya.
Kesan peristiwa itu katanya, ALLAH SWT telah menurunkan ayat al-Quran bagi membersihkan nama Aisyah dan empat sahabat tersebut dikenakan hukuman sebat 80 rotan kerana jenayah Qazaf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!