CEO KFA dibebaskan dengan jaminan SPRM
ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan isu rasuah lebih RM6 juta telah dibebaskan pada Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan KFA, Ibrahim Ismail berkata, CEO itu telah dilepaskan dengan jaminan SPRM pada jam 10 pagi setelah selesai memberi keterangan bersama-sama tiga individu yang lain.
Menurutnya, KFA ingin menjelaskan bahawa pelantikan CEO adalah bagi melancarkan pentadbiran dan fungsi sekretariat di bawah Setiausaha Kehormat menurut Statut Persatuan.
"KFA juga ingin menjelaskan bahawa Persatuan tiada kaitan dengan mana-mana projek kerajaan negeri. Menurut Statut Persatuan, kesemua keputusan persatuan perlu diputuskan di bawah Jawatankuasa Eksekutif (Exco KFA). CEO hanya menjalankan tugas bagi melicinkan pentadbiran persatuan.
"Sepanjang penubuhan persatuan, pendapatan utama adalah dari sumbangan syarikat dan badan-badan korporat. Segala penerimaan wang telah direkodkan dalam Laporan Kewangan Persatuan dan dibentangkan. Sumbangan diterima adalah tanpa imbalan dan tanpa prasangka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ibrahim berkata lagi, sebagai rekod, CEO KFA yang telah dilantik pada Ogos 2020 telah bersusah payah menyelesaikan isu tunggakan gaji dan tuntutan hutang daripada badan berkanun sejak pentadbiran persatuan bertukar kepimpinan.
Menurutnya, hasil pelantikan tersebut juga telah berjaya merekodkan kejayaan proses pemisahan pasukan bola sepak daripada persatuan kepada swasta selain kejayaan memiliki pejabat pentadbiran sendiri pada 2023.
"KFA berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan menghentikan tuduhan yang tidak berasas.
"Kes ini masih di peringkat awal siasatan. Persatuan menafikan semua bentuk keterlibatan rasuah. Seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, empat individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak di utara tanah air ditahan reman selama tiga hari bermula Jumaat sehingga Ahad.
Kesemua mereka disyaki meminta serta menerima wang rasuah bernilai lebih RM6 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!