Mangsa banjir di Johor meningkat - Nadma

Keadaan terkini Banjir di Sungai Tiram, Johor. Foto JBPM
Keadaan terkini Banjir di Sungai Tiram, Johor. Foto JBPM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 674 mangsa banjir di Johor berlindung di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang ini, meningkat sedikit berbanding 338 mangsa daripada 92 keluarga pagi tadi.

Menurut laporan terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ia melibatkan daerah Kluang yang menempatkan 103 mangsa, Kota Tinggi (513 mangsa), Kulai (38 mangsa) dan Segamat (20 mangsa).

Keadaan di Pahang turut menunjukkan peningkatan dengan 315 mangsa daripada 75 keluarga berlindung di lapan PPS di Rompin dan Pekan.

Keadaan terkini Banjir di Sungai Tiram, Johor. Foto JBPM
Keadaan terkini Banjir di Sungai Tiram, Johor. Foto JBPM

Berdasarkan tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, sungai di enam kawasan di Johor didapati berada pada paras bahaya dengan trend meningkat iaitu Kampung Laut di Sungai Skudai yang mencatatkan 3.89 meter (m), Dagang (Sungai Johor - 4.61m), Sri Jaya (Sungai Johor - 8.76m), Kampung Murni Jaya (Sungai Johor - 18.15m), Kampung Sungai Siam (Sungai Johor - 21.02m), Kampung Contoh (Sungai Endau - 14.79m).

Selain itu, Sungai Kelantan dan Sungai Terengganu turut menunjukkan trend peningkatan dengan bacaan masing-masing 77.51m dan 19.9m, manakala dua sungai pada paras bahaya yang menunjukkan trend menurun ialah Sungai Arau, di Perlis (23.86m) dan Sungai Batang Sadong di Serian, Sarawak (9.52 m).

Laporan itu turut menyatakan setakat hari ini (Ahad) 49 jalan ditutup akibat bencana dan kerosakan antaranya Jalan Kota Tinggi - Kluang, Jalan Mersing - Endau (Mersing) di Johor; Jalan Bukit Besi - Dungun di Terengganu dan jalan dari Simpang Tiga Sungai Pahi ke Simpang Tiga Kampung Peria di Kelantan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin timuran dijangka berlaku di Pahang, Johor dan timur Sabah hingga 9 Januari, manakala di Sarawak hingga 11 Januari.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu keadaan tersebut boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

"MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan yang melibatkan timur Pahang dan Johor berkuat kuasa hingga 8 Januari ini.

"Amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikeluarkan yang berkuat kuasa hingga 8 Januari,” menurut kenyataan itu. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!