[VIDEO] KPDN Perak serbu restoran 'seafood' cekik darah
PULAU PANGKOR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak dan KPDN Cawangan Manjung mengambil tindakan ke atas sebuah premis yang tular di media sosial menjual makanan hasil laut pada harga yang tinggi di Teluk Nipah, di sini pada Ahad.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasanya melaksanakan pemeriksaan bersepadu dengan kerjasama polis dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) ke atas premis yang menjual makanan hasil laut di sekitar Teluk Nipah, di sini selama dua hari sejak Sabtu.
Menurutnya, menerusi Ops Samar yang dijalankan itu, premis yang diadukan tidak meletakkan tanda harga ke atas makanan hasil laut yang belum dimasak serta didapati tidak menggunakan alat timbangan dalam urusan penjualan makanan hasil laut tersebut.
"Premis hanya meletakkan tanda harga ketika pemeriksaan pegawai beruniform dilakukan hari ini. Pemeriksaan dan perbandingan harga makanan di premis yang diadu juga didapati lebih tinggi berbanding harga makanan yang sama di premis lain sekitar Teluk Nipah.
"Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil ke atas peniaga terbabit kerana disyaki telah melanggar Seksyen 140(3)(a)(b) Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu gagal meletakkan butiran nama dan alamat perniagaan serta tarikh pembelian dalam resit yang dikeluarkan kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kamalludin berkata, premis tersebut juga turut diberikan satu Notis Pengesahan Maklumat Barang dan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Katanya, susulan itu peniaga perlu mengemukakan maklumat barangan kepada pihak KPDN Perak dalam tempoh lima hari waktu bekerja.
Jelasnya, siasatan lanjut akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya didapati berlaku kesalahan mencatut dalam menjual atau membekalkan barangan dan perkhidmatan di bawah Seksyen 14(1) akta terbabit.
Beliau berkata, tindakan berkenaan merupakan reaksi maklumbalas pihak KPDN Perak berhubung kiriman tular oleh seorang pengguna di aplikasi TikTok dan turut dikongsikan oleh pengguna lain di aplikasi Facebook pada 5 Januari lalu.
Dalam kiriman tersebut, pengguna terbabit mendakwa telah dikenakan caj harga makanan laut siap masak yang mahal dan tidak setimpal dengan kualiti serta perkhidmatan yang diberikan.
"KPDN akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan perniagaan yang sedang berkuat kuasa.
"Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir peniaga yang mengambil kesempatan ke atas pelancong dapat memberi imej yang tidak baik dan memberi kesan ke atas industri pelancongan di Perak," katanya.
Kamalludin turut mengingatkan peniaga supaya sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta tidak menaikkan harga barang sesuka hati terutama ketika musim perayaan atau musim cuti persekolahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!