Bantuan sehingga RM1,000 buat anak pengawal keselamatan mati dibunuh
IPOH - Kerajaan Perak telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melihat keperluan keluarga pengawal keselamatan yang dibunuh di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang dekat sini pada Rabu lalu.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, keutamaan bantuan akan diberikan kepada anak-anak mangsa yang masih bersekolah.
Menurutnya, bantuan yang akan dipertimbangkan termasuklah bantuan bulan untuk keluarga berkenaan.
"Memang kita minta JKM untuk melihat keperluan-keperluan keluarga tersebut. Kalau anak yang bersekolah kita akan cuba dapatkan bantuan persekolahan anak-anak. Setakat ini kalau bantuan JKM, kita boleh beri sehingga RM1,000 bantuan untuk anak yang bersekolah.
"Jadi kita tengok berapa ramai anak yang bersekolah, berapa orang boleh dibantu. Setakat ini kita memang minta JKM cuba untuk santuni mereka. Kita akan cuba semampu yang boleh membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang dan Penyampaian Sijil Program Penguasaan Asas Perniagaan (BFM) siri pertama di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu menyiarkan kisah keluarga Allahyarham Razis Jamal, 41, yang hilang tempat bergantung.
Isteri mangsa, Nursyakinah Abdul Ghani, 33, berkata, keluarganya kini kehilangan sumber pendapatan kerana segala perbelanjaan hanya mengharapkan Allahyarham suaminya, Razis Jamal, 41.
Pada 3 Januari lalu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang.
Keadaan mangsa disedari orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis sekitar jam 2.30 pagi.
Susulan kejadian itu seorang suspek berusia 31 tahun diberkas bagi membantu siasatan dan direman selama tujuh hari bermula 4 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!