Pelajar tahfiz jumpa bayi dalam kotak
LARUT- Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam kotak di hadapan sebuah pusat pengajian Islam di Rantau Panjang dekat Selama pada Sabtu.
Difahamkan bayi malang itu ditemui kumpulan pelajar tahfiz yang mahu menunaikan solat subuh sekitar jam 5.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, pemeriksaan mendapati bayi dianggarkan seberat dua kilogram itu berada dalam keadaan stabil.
"Ketika ditemui, bayi itu masih bertali pusat dan uri dipercayai ditinggalkan di kawasan itu lebih tiga jam sebelum ditemui.
"Bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya di sini pada Ahad.
Menurut Sarudin, siasatan lanjut diteruskan termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.
Susulan itu, beliau menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!