Polis tahan pengasuh disyaki dera kanak-kanak

Pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan kecederaan lama serta baharu di belakang badan, muka, kedua-dua bahagian lutut dan kaki mangsa. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Azam)
Pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan kecederaan lama serta baharu di belakang badan, muka, kedua-dua bahagian lutut dan kaki mangsa. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Azam)
A
A
A

AMPANG - Seorang pengasuh ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Taman Ampang Indah dekat sini pada 17 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang tukang masak yang juga bapa mangsa berhubung kes terbabit.

"Pengadu mendakwa terdapat kesan luka pada badan anaknya dan mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang.

"Pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan kecederaan lama serta baharu di belakang badan, muka, kedua-dua bahagian lutut dan kaki mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, pihaknya telah menahan seorang wanita berusia 39 tahun bagi membantu siasatan pada jam 10 malam Khamis,

"Suspek adalah pengasuh kepada mangsa ketika ibunya keluar bekerja dengan bayaran RM800 sebulan.

"Ibu mangsa juga menyewa bilik di dalam rumah suspek dengan bayaran sewa sebanyak RM550 sebulan," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tiada rekod lampau dan wanita itu telah direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan: