Tiada kelibat Nadal dalam Terbuka Australia
BINTANG tenis Sepanyol Rafael Nadal menarik diri dari Terbuka Australia 2024 apabila mengalami kecederaan otot seminggu setelah melakukan kemunculan semula selepas berehat selama setahun sebelum ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 37 tahun itu yang tidak bermain sejak mengalami kecederaan pinggul pada Terbuka Australia 2023, kembali selepas pembedahan untuk Kejuaraan Antarabangsa Brisbane tetap kekal positif akan kembali semula ke gelanggang.
Dia memenangi dua perlawanan pembukaannya sebelum memerlukan rawatan perubatan menjelang penghujung aksi ketika tewas kepada pemain Australia, Jordan Thompson pada suku akhir.
"Semasa perlawanan terakhir di Brisbane, saya mengalami masalah kecil pada otot yang seperti yang anda tahu membuatkan saya bimbang.
“Apabila saya tiba di Melbourne, saya berpeluang membuat MRI ternyata terdapat koyakan pada otot, tetapi bukan di bahagian sama ketika saya mengalami kecederaan dan itu berita baik.
"Sekarang saya belum bersedia untuk bersaing pada tahap maksimum perlawanan lima set. Saya terbang pulang ke Sepanyol untuk berjumpa doktor, mendapatkan rawatan dan berehat," katanya.
Ketiadaan kelibat Nadal dalam Terbuka Australia berkemungkinan menyaksikan dia bermain di Melbourne Park buat kali terakhir, setelah terdapat peratusan yang tinggi bahawa 2024 akan menjadi pengakhirannya di jelajah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!