Bertutur jangan sampai ada terasa hati

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

BARU-BARU ini, istilah ‘bodo’ atau bodoh menjadi popular apabila banyak digunakan dalam perbualan dalam masyarakat di Terengganu sebagai penyedap bicara.

Ia selepas perkataan itu sering digunakan dalam sesi ceramah agama oleh seorang pendakwah terkemuka di negeri itu.

Biarpun diibaratkan sebagai penambah perisa dalam pertuturan, sebenarnya penulis sendiri masih kekok apabila terdengar mana-mana orang menyelitkan perkataan tersebut dalam perbualan harian.

Walaupun hakikatnya penulis dilahirkan di negeri Darul Iman.

Bagi penulis, penggunaan istilah ‘bodo’ dalam kalangan masyarakat Terengganu perlulah bersesuaian dengan situasi percakapan supaya tidak menjurus kepada maksud sebenar yang akan menggores hati pihak lain.

Walaupun begitu, penulis yakin istilah itu sebenarnya bukanlah perkataan yang menjadi kebiasaan meniti di bibir masyarakat khususnya generasi terdahulu di negeri berkenaan.

Berdasarkan cerita dari mulut ayah penulis sendiri yang kini berusia 79 tahun, masyarakat Terengganu suatu masa dahulu terkenal dengan tutur bicara tertib dan mengamalkan adab sopan Melayu dalam perbualan serta aktiviti harian.

Jika menyapa individu tidak dikenali akan digelar ‘Awang’ dan bagi wanita pula digelar ‘Mek’ dengan lenggok bahasa yang lembut serta menyenangkan bagi mereka yang saling tidak mengenali antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, arus perubahan masa menenggelamkan lenggok bahasa sopan yang digunakan golongan terdahulu.

Hasilnya, pertuturan hari ini menggambarkan cerminan diri yang telah melalui episod perubahan seiring peredaran zaman dan kepesatan perkembangan teknologi.

Berbalik kepada kisah penceramah tersebut, bagi penulis, perkataan ‘bodo’ yang digunakan ketika sesi ceramah itu tidak boleh dipukul rata dan bukanlah memberi maksud sebenar perkataan itu sebaliknya ia merupakan ‘pemanis’ dalam sesi ceramah itu.

Untuk menarik golongan muda, sudah tentu elemen humor akan digunakan dan istilah itu menjadi trademark bagi penceramah tersebut.

Jika diikuti konteks ceramah yang disampaikan, sebenarnya tidak membawa apa-apa maksud dan tidak ditujukan kepada sesiapa pun.

Bagaimanapun, bagi pandangan penulis, perkataan itu tidak wajar untuk dinormalisasikan secara meluas dalam kalangan masyarakat sehingga ada satu tahap kita sudah tidak rasa malu dan bersalah menyebutnya dalam apa jua keadaan dan situasi.

Bukan bermaksud menyokong, cuma penggunaan perkataan itu amat tidak wajar untuk dijadikan ikutan dan kebiasaan baik kepada anak-anak kecil hatta kepada golongan remaja, belia dan dewasa.

Ayat seperti ‘bodo natang ning’, ‘mung tu bodo’ walaupun jadi kebiasaan yang meniti di bibir sesetengah masyarakat Terengganu, ia menggambarkan sejauh mana adab sopan yang ada dalam diri setiap daripada kita.

Walaupun maksud istilah itu berbeza mengikut situasi, misalnya gelaran untuk mi goreng biasa yang tidak dimasukkan bahan-bahan tambahan dipanggil ‘mi goreng bodo’ atau ‘nasi goreng bodo’ merujuk kepada nasi goreng yang diolah menggunakan ramuan ringkas, juga biasa digunakan oleh masyarakat luar Terengganu.

Begitu juga dengan ayat ‘buat bodo’ yang memberi gambaran kepada situasi tidak berbuat apa-apa.

Rentetan kisah penceramah dan istilah ‘bodo’ yang digunakan, muncul pelbagai komen sama ada dalam bentuk cacian atau pun penafian yang ditulis secara terbuka di media sosial.

Sebagai umat Islam, jauh di sudut hati penulis kecewa dengan ‘perbalahan’ yang berlaku di media sosial sehingga ada antara kita yang tergamak mengutuk antara satu sama lain yang secara tidak langsung mempamerkan keperibadian dan sisi narsistik yang ada dalam diri.

Tidak memadai dengan itu, kata-kata kesat turut dilemparkan kepada individu yang mengajar hukum hakam agama, yang mana sepatutnya golongan tersebut dihormati dan disanjung tinggi.

Jika serangan di alam maya itu turut bermotifkan politik, adakah kita yang menulis itu, terutama yang beragama Islam lupa bahawa setiap kata-kata kesat dan penghinaan yang ditulis juga turut dihisab di akhirat kelak. Adakah kita sudah hilang pertimbangan atau kewarasan dalam berfikir?

Jadi, berhati-hatilah dalam berbicara dan menulis, kerana setiap inci pertuturan dan tulisan juga akan dihitung di hari kemudian.

* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!