NSA perlu pastikan ahli gabung lebih kreatif
PERSATUAN sukan kebangsaan (NSA) perlu lebih kreatif dalam pengisian penganjuran aktiviti supaya tidak hanya dapat menarik penyertaan peserta dalam tetapi juga luar negara.
Malah, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias juga berharap dapat melihat persatuan sukan negara ini bergerak ke hadapan dengan visi lebih jelas dan boleh diukur pada tahun ini.
Suhardi berkata tadbir urus keseluruhan yang lebih baik oleh persatuan sukan akan membantu mereka menarik lebih banyak penajaan, dan seterusnya membolehkan mereka memperkasakan program.
“Tahun ini, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) ingin melihat persatuan berusaha untuk membina kapasiti, yang akan membantu mereka maju lebih jauh. Tadbir urus yang lebih baik akan membantu mereka mendapatkan lebih banyak penajaan untuk aktiviti dan program mereka.
“Kami juga menggalakkan NSA untuk terus membangunkan dan mengukuhkan pelan strategik mereka. Mereka mesti lebih berstruktur dan mempunyai visi yang jelas dan boleh diukur.
“Ini amat penting terutama ketika kita bersiap sedia untuk Sukan Olimpik Paris 2024, serta Los Angeles 2028. Saya berharap agar sukan kita akan mencapai lebih banyak kegemilangan dan menjadikan negara kita berbangga,” kata Suhardi kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Pada masa sama Suhardi menegaskan kepentingan sesebuah NSA menjaga imej dengan memastikan ahli gabungan tidak terpalit dengan pelbagai isu.
“Apabila sesebuah ahli gabungan terpalit dengan sesuatu isu melibatkan hubungan dengan jurulatih dan pemain, ia perlu diselesaikan segera bagi mengelak masalah berpanjangan.
“Sebarang isu yang terpalit dengan ahli gabungan sebenarnya secara tidak langsung menjejaskan imej badan induk di mata dunia luar.
“Ini juga secara tidak langsung menjejaskan daya penarik bagi penganjuran sesebuah pertandingan tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!