Setia jaga isteri hidap kanser lidah
TUMPAT - Seorang lelaki reda diuji menjaga isteri yang menghidap kanser lidah tahap empat selepas lebih setahun usia perkahwinan mereka.
Kini, selepas tiga tahun perkahwinan, Idhan Ibrahim, 31, setia menemani Fatihah Fauzi, 36, dan tidak dapat bekerja kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada isterinya.
Idhan dan isteri kini menumpang di rumah ibu mertuanya yang juga warga emas berusia 70-an di Kampung Kubang Batang dekat sini.
Berkongsi mengenai penyakit dialami Fatihah, kata Idhan, pada awalnya isterinya itu mengalami ulser biasa tetapi dalam tempoh lebih setahun tidak sembuh walaupun sudah mendapatkan rawatan.
"Keadaan lidahnya semakin teruk dan akhirnya disahkan menghidap kanser. Selepas beberapa sesi rawatan dan radioterapi, keadaan lidah Fatihah semakin baik.
"Bagaimanapun, beberapa bulan lalu, doktor mengesahkan kanser itu mula merebak ke tulang belakang dan paru-paru serta dimaklumkan perlu menjalani enam sesi kemoterapi.
"Kami juga baru pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia selepas 'berkampung' lebih dua bulan," katanya.
Idhan memberitahu, dalam tempoh dua tahun, berat badan isterinya semakin menyusut iaitu dari 65 kilogram (kg) ke 30kg sahaja.
Jelasnya, Fatihah juga sudah lebih setahun tidak menikmati hidangan nasi kerana sakit di bahagian mulut dan tekak.
"Isteri saya juga tidak lagi boleh berjalan dan hanya mampu minum susu enam kali sehari," katanya.
Tambahnya, keadaan Fatihah yang hanya terlantar juga memang memerlukan penggunaan lampin pakai buang dan kos kedua-dua keperluan itu juga tinggi.
Orang ramai yang mahu membantu mengurangkan beban pasangan suami isteri itu boleh menghubungi Idham di talian 01116141617 atau terus menyumbang melalui CIMB di nombor akaun 7622957938 atas nama Idhan Ibrahim.
Fatihah sebelum itu menerima sumbangan katil elektik daripada pertubuhan bukan kerajaan Majlis Sangha negeri Kelantan berharga hampir RM3,000.
Pertubuhan itu menerima permohonan minggu lalu dan terus menghantarnya kepada Fatihah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!