Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi pada Isnin. Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih pada Isnin.

Istiadat perbarisan berkenaan yang diadakan bersempena dengan tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini berlangsung di Kem Perdana, Sungai Besi di sini.

Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Jan 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Kali terakhir istiadat sama diadakan adalah pada 2016 semasa Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Istiadat itu melibatkan 40 pegawai dan 888 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu tentera darat, laut dan udara.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi pada Isnin - Foto Bernama

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua dimulakan dengan Hormat Diraja oleh anggota perbarisan yang diketuai Lt Kol Mohd Azamri Abdullah sebelum lagu Negaraku didendangkan oleh gabungan Pancaragam ATM selain Tembakan Kehormatan Artileri sebanyak 21 das turut mengiringi lagu kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Perbarisan juga menyaksikan terbang lintas hormat lima helikopter ATM yang masing-masing membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, bendera tentera darat, udara dan laut.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan pemeriksa.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi pada Isnin. Foto Bernama

Terdahulu, anggota perbarisan melaksanakan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan laju sebelum mara menghadap pasangan diraja berkenaan.

Satu persembahan khas melibatkan seorang pegawai dan 306 anggota lain-lain pangkat membabitkan gabungan pancaragam pusat ATM bersama Drumline dan Brassband Tentera Darat turut memeriahkan Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih itu.

Pada istiadat berkenaan juga, lima panji Yang di-Pertuan Agong turut diarak oleh kontinjen-kontinjen dalam persembahan berkonsepkan Slow March melibatkan pergerakan enam formasi iaitu formasi keris iringan lagu Ala Donde Si Donde, formasi Love (lagu Battle Theme dan Pantun Budi) dan formasi Bunga Raya (lagu Jalur Gemilang).

Turut dipersembahkan formasi war defence (Lagu Army of The War), formasi bulan bintang (Lagu Joget Pahang) dan formasi wau (Kancing Suasa dan Dikir Puteri) sebelum diakhiri dengan laungan Daulat Tuanku.

Persembahan bertenaga daripada pancaragam berkenaan menarik minat Raja Permaisuri Agong apabila baginda dilihat bangun daripada kerusinya untuk merakam momen itu melalui telefon bimbitnya.

Turut disajikan deklamasi sajak oleh Sarjan Siti Nur Ain Jasmi dan Laskar Udara 1 Abdullah Rosli bertajuk Daulat Tuanku yang menceritakan kepimpinan baginda dan cabaran yang dihadapi negara semasa lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah.

Bait-bait sajak berkenaan yang menggambarkan keperibadian baginda berdua yang terserlah mesra rakyat jelas menyentuh emosi sehingga Tunku Azizah menitiskan air mata.

Usai istiadat, pasangan diraja berkenaan diarak dari Wisma Perwira Tentera Darat ke Balai Pengawal Utama Kem Perdana Sungai Besi dengan persembahan street lining daripada warga ATM yang menaiki kereta kuda diiringi 14 ekor kuda daripada Skuadron Istiadat Berkuda Kor Armor Diraja.

Sebelum menaiki kereta kuda berkenaan, baginda berdua berkenan mengaminkan doa yang dibacakan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mej Jen Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Laungan penuh semangat "menjunjung kasih tuanku" ketika baginda berdua diarak keluar dari Kem Perdana Sungai Besi merupakan simbolik tamatnya Al-Sultan Abdullah menjadi Panglima Tertinggi Angkatan Tentera.

Sebelum beredar menaiki kereta rasmi, Al-Sultan Abdullah bersalaman dengan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan panglima ATM yang lain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!