Usah terlalu mudah mengkafirkan orang lain

JANGAN terlalu mudah mengkafirkan orang lain kerana ia perbuatan yang dilarang dalam Islam.
JANGAN terlalu mudah mengkafirkan orang lain kerana ia perbuatan yang dilarang dalam Islam.
A
A
A

MELIHAT orang lain berbuat salah, mudah benar sebilangan daripada kita menjatuhkan 'hukuman' sendiri. Malah, ada yang bersifat lebih ekstrem lagi apabila mengkafirkan terus orang lain.

Tidak semena-mena label tersebut terpalit pada individu berkenaan. Kadangkala kesilapan dilakukan bukanlah sebesar mana.

Hakikatnya, kita juga manusia biasa yang dijadikan oleh ALLAH SWT, sama seperti orang lain. Tidak perlulah kita menghukum orang lain sebegitu rupa.

Ini kerana menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri, terdapat hadis yang melarang kita daripada menuduh orang Islam dengan kalimah kufur atau fusuq.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Abu Zar RA berkata beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jelas Zulkifli, sekiranya tuduhan yang diperkatakan itu tidak benar seperti diungkapkan, orang yang melemparkan dakwaan itu berhak mendapat sifat disebutkan tadi.

Artikel Berkaitan:

"Jika sebaliknya, maka tuduhan tersebut tidak akan kembali kepadanya. Demikian pandangan Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani," katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web Maktabah Albakri.

Bagaimana pula jika seseorang mengatakan tuduhan tersebut dengan tujuan untuk menasihati individu yang terlibat?

Menjawab persoalan itu, agamawan tersebut menjawab, perbuatan berkenaan dibenarkan jika tujuannya untuk menegur dan menjelaskan keadaan.

Bagaimapun, andai objektifnya adalah untuk memalukan individu dituduhnya atau mempertontonkan kepada khalayak akan sifat buruk yang ada pada diri seseorang, maka ia dilarang sama sekali, ungkapnya.

"Masakan tidak, umat Islam dituntut untuk menutup aib saudaranya dan mengajar serta memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah.

"Selagi mana seseorang itu mampu melakukannya dalam keadaan baik, maka dia tidak boleh melaksanakannya dalam kekerasan kerana bimbang ia akan menjadi sebab orang yang dituduh tadi berterusan dengan kaedah seperti itu," katanya.

Andai berlaku maksiat selagi mana seseorang tidak beriktiqad kehalalannya terhadap perkara dilakukan itu, ujar Zulkifli, individu berkenaan dianggap sebagai orang yang derhaka dan tidak mengeluarkannya dari darah keislamannya.

"Mereka hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha dan kembali mentaati perintah ALLAH SWT serta menjauhi segala larangannya," katanya.

SYARAK tidak bermudah-mudah dalam mengeluarkan seseorang daripada Islam atau mengkafirkan orang lain. -Gambar hiasan
SYARAK tidak bermudah-mudah dalam mengeluarkan seseorang daripada Islam atau mengkafirkan orang lain. -Gambar hiasan

Ketahuilah bahawa syarak tidak bermudah-mudah dalam mengeluarkan seseorang daripada Islam atau mengkafirkan orang lain.

Bahkan tambah Zulkfili, Imam al-Ghazali menyatakan, setiap hukum syarak diketahui menerusi sumber asal syarak atau ijmak atau qiyas.

"Begitu juga halnya dalam menentukan kekufuran seseorang. Mengertilah, dalam membincangkan perihal batas-batas iman dan kufur, ia perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati.

"Ini penting agar tiada mana-mana pihak tersalah faham hingga terjebak ke dalam sikap melampau waima ekstrem mengeluarkan seseorang daripada Islam atau terlampau liberal hingga mengharuskan apa jua bentuk kekufuran," terangnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!