Papagomo tak mengaku salah tuduh kerajaan pro-Israel

Wan Muhammad Azri. Foto Bernama
Wan Muhammad Azri. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Blogger kontroversi, Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan menyebut kata-kata menghasut, antaranya mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan Barat, dua bulan lalu.

Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.

"Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan,” katanya yang hadir bersama isteri dan kelihatan tenang.

Bekas Exco Pemuda UMNO itu didakwa menyebut kata-kata menghasut pada jam 1 tengah hari, 8 November tahun lalu di laman Facebook 'Halid Hamidi (Halid Mat Kool)'.

Kenyataan itu dilihat oleh seorang lelaki berusia 42 tahun, di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

"Tertuduh juga perlu dikenakan syarat tambahan iaitu memenuhi perintah larangan (gag order) tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh merayu agar kadar itu dikurangkan kerana Wan Muhammad Azri telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes ini disiasat.

"Dia yang bekerja secara dalam talian perlu menjaga isteri yang juga seorang suri rumah dan lima anak yang masih bersekolah.

"Kami bantah perintah larangan itu kerana ia merupakan hak kebebasan untuk bersuara," katanya yang turut disertai oleh peguam, Logen Eskander.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes.