15 ADUN Pas tetap berbakti walau tanpa peruntukan

Gambar dimuat naik Rosli dihantarannya di Facebook.
Gambar dimuat naik Rosli dihantarannya di Facebook.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas akan tetap berbakti walaupun tidak mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, walaupun tidak dapat membantu rakyat sepenuhnya, mereka sentiasa mendampingi masyarakat.

Rosli
Rosli

"Kita membantu tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik. Inilah antara sebab Pas semakin mendapat sokongan masyarakat.

"Saya sangat memahami jerih payahnya untuk berkhidmat dalam keadaan tiada peruntukan, namun saya, YB (Yang Berhormat) DS (Datuk Seri) Tuan Ibrahim Tuan Man dan YB Andansura Rabu yang terlebih dahulu merasakan kesusahan ini.

"Mereka sentiasa memberikan semangat kepada semua ADUN untuk sentiasa berusaha memerah keringat dan akal bagi memastikan khidmat tetap ditaburkan walaupun tanpa peruntukan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur turut mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang kian kental dengan keperitan itu.

"Insya-ALLAH kita akan terus bekerja, merempuh segala cabaran di hadapan, sederap kita menuju matlamat PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16) iaitu 'Pas Teraju Pahang'.

Artikel Berkaitan:

Dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah supaya ADUN pembangkang juga diberikan peruntukan secara adil.

Rosli berkata, titah itu memberi satu harapan agar ADUN Pas termasuk dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) turut mendapat peruntukan sesuai dengan titah tersebut.

"Kita harap ADUN yang baru tidak merasai kesusahan sebagaimana kami rasakan dahulu, namun ia tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!