Ibu dukung bayi redah banjir 500 meter untuk ke PPS
KOTA TINGGI - Meredah banjir sejauh kira-kira 500 meter sambil mendukung bayi berusia tiga bulan untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada waktu malam menjadi detik cemas dilalui ibu, Nurul Nazurah Mustapha, 32, selepas rumahnya dinaiki air.
Katanya, air banjir yang naik begitu cepat pada sebelah malam di Taman Kota Jaya, membuatkan dia dan suami, Mohamad Adam Misman, 32, bimbang dengan keselamatan bayi mereka.
"Ketika itu, air sudah naik hampir 0.5 meter. Kami terpaksa meredah banjir di hadapan rumah untuk menaiki kereta yang telah dialihkan pada sebelah petang ke kawasan yang lebih selamat.
"Kami ke PPS sekitar jam 10 malam, bersama ibu, Rosmiati Ibrahim, 60, dengan menaiki kereta. Syukur, semuanya selamat dan kami tiba di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Usman Awang," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sementara itu, ibunya, Rosmiati mengakui walaupun sudah lali berhadapan dengan banjir, namun dia tidak menafikan tetap cemas setiap kali hujan lebat dan air sungai melimpah.
Dia yang tinggal di Taman Kota Jaya sejak 30 tahun lalu berkata, kediaman penduduk di situ mudah dinaiki air kerana terletak di kawasan rendah selain berdekatan dengan sungai.
"Belum reda penat berdepan banjir pada Mac tahun lepas, kali ini kami diuji lagi dengan banjir. Tahun lepas, empat hari saya berlindung di PPS.
"Banjir agak teruk malam tadi, teringat kejadian banjir besar yang pernah menenggelamkan Kota Tinggi pada 2006. Ketika itu saya dan keluarga terpaksa berlindung di PPS hampir seminggu," katanya.
Sementara itu, daerah Kota Tinggi terus merekodkan bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 3,796 orang daripada 1,016 keluarga yang kini ditempatkan di 24 PPS setakat jam 10 pagi Isnin.
Menurut Jawatankuasa Bencana Negeri Johor, jumlah mangsa banjir di negeri ini menunjukkan trend peningkatan dengan 7,417 mangsa kini berlindung di 52 PPS di Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru, Pontian, Kulai dan Segamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!