Aset RM7 juta milik penaung NGO dalang sindiket dadah disiasat

Ayob Khan (dua dari kiri) sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama UKM di Menara 1 Bukit Aman pada Isnin. Foto Bernama
Ayob Khan (dua dari kiri) sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama UKM di Menara 1 Bukit Aman pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menyiasat aset bernilai lebih RM7 juta milik sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang penaung badan bukan kerajaan (NGO) berpangkat 'Datuk'.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aset disita itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Sebanyak 22 akaun bank bernilai RM420,000 telah dibekukan, manakala 18 kenderaan mewah bernilai RM6.6 juta, barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira RM100,000 dan wang tunai RM35,000 telah disita," katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Isnin.

Ayob Khan berkata, pihaknya turut menahan seorang pegawai agensi penguat kuasa berusia 43 tahun pada 29 Disember lalu yang berperanan sebagai 'transporter' untuk sindiket berkenaan.

"Suspek sebelum ini pernah bertugas di Sabah.

"Secara keseluruhan kita telah mehanan 10 individu," katanya.

Ayob Khan berkata, soal siasat terhadap suspek masih diteruskan untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

"Kita turut bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengesan aset lain milik sindiket itu, kita juga sedang giat mencari makmal memproses dadah," katanya.

Pada 26 Disember lalu, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Serbuan dilakukan jam 2.45 pagi pada 25 Disember lalu di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu hasil kerjasama antara JSJN Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan dilaporkan berkata dalam serbuan itu polis menahan 10 lelaki, termasuk dalang utama sindiket pengedaran dadah berkenaan yang juga penaung NGO berusia 40 tahun.

Siasatan awal mendapati, sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sejak 2015 dan mereka menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri terbabit, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina.

Kemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur pula di bawah SOSMA.

Siasatan di bawah SOSMA adalah bagi membolehkan pembanterasan kegiatan jenayah berkaitan sindiket secara menyeluruh.

Sembilan lagi yang ditahan adalah seorang peniaga berusia 36 tahun dan pembantu peribadi berusia 48 tahun yang juga orang kanan sindiket berkenaan, penjawat awam berusia 44 tahun yang juga pegawai sebuah agensi penguatkuasaan berperanan sebagai transporter bagi sindiket serta seorang buruh berusia 34 tahun yang berperanan sebagai keldai dadah.

Selain itu, dua individu berusia 32 dan 45 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak dan pengarah urusan rangkaian restoran yang menguruskan aspek kewangan sindiket, dua individu berusia 30 dan 31 tahun yang juga penganggur sebagai pengedar dadah dan seorang lagi penganggur berusia 48 tahun yang disyaki tonto kepada sindiket ini.

Modus operandi sindiket pengedaran dadah itu adalah mendapatkan bekalan dadah dan seterusnya dibawa ke Sabah dengan menggunakan syarikat penerbangan komersial dan kiriman kargo laut.

Bekalan dadah akan disimpan di Sabah, sebelum diagihkan kepada pengedar sindiket dan turut diseludup kepada pembeli di Indonesia dan Filipina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!