Hadiah teristimewa dari ALLAH dalam sejarah hidup
MAKKAH - “Walaupun pakcik selalu dapat hadiah dari anak-anak setiap kali hari lahir tetapi inilah hadiah dari tuhan yang paling istimewa dan terbesar dalam sejarah hidup pakcik.”
Demikian luahan seorang warga emas, Abdul Manan Baharudin yang terpilih untuk menyertai Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dan kerajaan Negeri Sembilan.
Dia yang merupakan seorang bekas anggota komando itu mengakui dirinya sukar untuk menangis namun sebaik sahaja melihat Kaabah keadaan bertukar hiba dan air mata kegembiraan mengalir di Tanah Suci.
“Saya berasa begitu tenang berbanding sebelum ini jiwa saya tidak tenang dan tuhan membuka hati saya dan merasakan yang saya menjadi tetamu Allah terhebat di sini,” kata lelaki yang berusia 71 tahun itu.
Abd Manan bersama dengan 114 asnaf yang ditaja oleh Andalusia menerusi program tanggungjawab korporat syarikat itu bertujuan memberikan peluang kepada golongan tersebut untuk menunaikan ibadah umrah buat pertama kali.
Program tersebut membabitkan 77 asnaf dari Negeri Sembilan, tujuh asnaf Sabah, 15 asnaf Kelantan, 10 asnaf dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dua Melaka dan empat dari Rembau.
Asnaf terpilih itu turut dibawa untuk menziarahi lokasi-lokasi penting dalam sejarah pengembangan Islam dan peristiwa penting melibatkan Nabi Muhammad di Makkah dan Madinah.
Sementara itu, cita-cita seorang bekas tentera untuk menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Mekah yang ditanam sejak sekian lama akhirnya tercapai.
Mohd Rasul Badar, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, dia sentiasa ingat kepada ALLAH dan Nabi Muhammad serta berdoa setiap masa supaya hajatnya tercapai.
“Alhamdulilah cita-cita saya termakbul selepas menerima panggilan telefon daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan bertanya sama ada saya mahu menunaikan umrah atau tidak.
“Saya sangat terkejut dan tiba-tiba hati saya rasa tersentak kerana saya benar-benar ingin datang ke sini untuk menjadi tetamu ALLAH untuk tunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam,” katanya.
Mohd Rasul berkata, walaupun sering aktif di media sosial namun tidak pernah terlintas dihatinya untuk memohon sebarang tajaan daripada mana-mana pihak untuk tujuan tersebut.
“Jadi kedatangan saya sebagai tetamu Allah ini adalah kehendak ALLAH kerana ajal, rezeki semuanya ditangan ALLAH dan ini rezeki saya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!