Gajah keliling rumah, Orang Asli lari selamatkan diri

Dinding rumah milik Rohana rosak angkara gajah di Kampung Talang, Sungai Siput.
Dinding rumah milik Rohana rosak angkara gajah di Kampung Talang, Sungai Siput.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Tujuh beranak Orang Asli terpaksa berlari menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Kampung Talang, Pos Perwor dekat sini dikepung kawanan gajah pada Sabtu.

Kejadian sekitar jam 8 malam itu menyebabkan dinding dan bahagian dapur rumah musnah manakala sebuah lagi rumah bersebelahan hampir rebah.

Rohana (kiri) menceritakan detik cemas menyelamatkan diri daripada kumpulan gajah liar yang telah merosakkan rumahnya.
Rohana (kiri) menceritakan detik cemas menyelamatkan diri daripada kumpulan gajah liar yang telah merosakkan rumahnya.

Penduduk, Rohana Uda, 45, berkata, kehadiran haiwan liar itu disedari selepas dikejutkan bunyi tempikan kuat gajah dari hutan belakang rumahnya.

"Menyedari gajah semakin hampir, saya terus bawa anak-anak dan dua menantu yang kebetulan ada di rumah lari walaupun keadaan ketika itu gelap dan hujan lebat.

"Kami menjerit mengejutkan penduduk lain untuk turut berjaga-jaga. Kami berdiam di rumah mereka kerana takut gajah itu mendekati rumah penduduk lain," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Menurut Rohana yang juga ibu tunggal, dia terkejut apabila rumah yang diduduki sejak 40 tahun lalu sudah rosak dengan sebahagian dinding terkopak.

Rohana termenung melihat keadaan rumahnya yang rosak akibat gajah di Kampung Talang, Sungai Siput.
Rohana termenung melihat keadaan rumahnya yang rosak akibat gajah di Kampung Talang, Sungai Siput.

Artikel Berkaitan:

"Saya terkejut pagi ini lihat bahagian dalam rumah berselerak, pinggan mangkuk pecah dan beras bertaburan atas tanah. Tandas pun turut roboh angkara gajah.

"Keadaan itu menyebabkan rumah kami tidak lagi selamat diduduki. Banyak yang perlu diperbaiki. Buat masa ini, kami terpaksa menumpang di rumah saudara berhampiran," katanya.

Pada masa sama, Tok Batin, Yusof Alang meminta kerjasama pihak berkaitan agar dapat membantu penduduk Orang Asli yang berdepan dengan kehadiran mamalia itu.

"Konflik haiwan dan hidupan liar ini semakin menjadi-jadi bukan sahaja melibatkan gajah tetapi juga harimau belang.

"Aduan bagaimanapun telah dipanjangkan ke wakil rakyat, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk diambil tindakan," katanya.

Yusof menunjukkan keadaan rumah penduduk yang rosak.
Yusof menunjukkan keadaan rumah penduduk yang rosak.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan awal telah diambil dengan menghalau kawanan gajah itu ke habitat asal.

"Kita ada tangkap tiga gajah masing-masing dua ekor di Chepor, Lenggong dan seekor lagi di Pos Legap, Sungai Siput.

"Selesai operasi memindahkan gajah itu, baru kita ambil tindakan sesuai melibatkan kawanan gajah tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!