Balu pengawal keselamatan dibunuh terharu terima bantuan PERKESO

Nursyakinah (kiri) layak terima faedah pengurusan mayat PERKESO sebanyak RM2,000 sekali bayar dan faedah pencen penakat sebanyak RM1,522.08 sebulan sepanjang hayat.
Nursyakinah (kiri) layak terima faedah pengurusan mayat PERKESO sebanyak RM2,000 sekali bayar dan faedah pencen penakat sebanyak RM1,522.08 sebulan sepanjang hayat.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Dalam kesedihan kehilangan suami sebagai tempat bergantung, Nursyakinah Abdul Ghani, 33, bersyukur dan terharu apabila nasib diri dan empat anaknya mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Balu kepada Razis Jamal, 41, pengawal keselamatan yang mati dibunuh 3 Januari lepas, layak menerima faedah pencen penakat sebanyak RM1,522.08 sebulan sepanjang hayat yang mula dibayar awal Februari.

Nursyakinah kini berseorangan membesarkan empat anak mereka, Muhammad Haziq Fitri, 13; Muhammad Fitri Hakim, 10; Fatin Nur Aina, 8, dan Nur Khaiyla Damia berusia 7 bulan.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur sangat, selama ini kami banyak bergantung kepada arwah kerana saya sendiri pun tidak bekerja.

"Bila datang bantuan seperti ini, ada sumber kewangan setiap bulan yang boleh digunakan untuk perbelanjaan dan persekolahan anak-anak saya," katanya ketika ditemui pemberita sempena sesi penyerahan faedah pengurusan mayat PERKESO sebanyak RM2,000 oleh Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Perak, V Mohanadas dan Pegawai Eksekutif Kanan PERKESO negeri, Mohd Farin Shamsuddin.

Nursyakinah berhasrat meneruskan perniagaan kecil-kecilan membuat aiskrim Malaysia dan tempahan kuih seperti dilakukan ketika arwah suaminya masih hidup.

Artikel Berkaitan:

Sivanesan (tiga dari kiri) menyantuni Nursyakinah dan anak-anak sempena sesi penyerahan faedah pengurusan mayat PERKESO sebanyak RM2,000.
Sivanesan (tiga dari kiri) menyantuni Nursyakinah dan anak-anak sempena sesi penyerahan faedah pengurusan mayat PERKESO sebanyak RM2,000.

Katanya, meskipun tidak mampu memperoleh pendapatan tinggi, namun setidaknya wang jualan diperolehi dapat menampung duit saku anak-anak sekolah.

"Sejak dulu, kami hidup dalam suasana berjimat cermat, beli apa yang perlu, baju pun jarang beli baru. Anak-anak dah terdidik begitu.

"Sekarang walaupun dapat bantuan bulanan, saya akan tetap teruskan berniaga untuk pastikan keperluan anak-anak mencukupi," katanya yang turut menanggung bayaran sewa rumah RM320 sebulan.

Sementara itu, Sivanesan berkata, faedah berkenaan disalurkan selepas siasatan mendapati pengawal keselamatan tersebut merupakan orang berinsurans bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Ujar beliau, faedah berkenaan diharap dapat meringankan beban ditanggung oleh keluarga dalam menjalani kehidupan seharian.

"Inilah pentingnya memastikan bahawa setiap majikan memotong dan mencarum pada PERKESO. Faedah yang diterima mampu membantu keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Selain PERKESO, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut meluluskan bantuan bulanan RM650 dibawah Bantuan Kanak-kanak selain melihat keperluan sesi kaunseling berdasarkan kesesuaian emosi keluarga berkenaan.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu, seorang pengawal keselamatan ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!