Warga emas hilang ketika menjaring ikan ditemui mati lemas

Operasi SAR diteruskan pada Isnin melibatkan pihak polis dan bomba.
Operasi SAR diteruskan pada Isnin melibatkan pihak polis dan bomba.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menjaring ikan di Kampung Belengu, Temerloh ditemui mati lemas pada Isnin.

Mayat pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syed Hashim Syed Hassan, 63, ditemui jam 10.35 pagi berhampiran lokasi dia menjaring ikan.

Operasi SAR digerakkan selepas menerima laporan berhubung kehilangan mangsa ketika keluar menjaring ikan di Kampung Belengu.
Operasi SAR digerakkan selepas menerima laporan berhubung kehilangan mangsa ketika keluar menjaring ikan di Kampung Belengu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pada hari kejadian (Ahad) mangsa dilaporkan keluar menjaring ikan dan kehilangan mangsa disedari ahli keluarga selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah hingga lewat petang.

Menurutnya, anak mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan bapanya kira-kira jam 9 malam.

"Sebelum itu, kira-kira jam 8.30 malam, keluarga dimaklumkan oleh jiran motosikal mangsa ditemui di Jalan Estet Kampung Belengu.

"Bagaimanapun mangsa tidak kelihatan di lokasi itu," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke HoSHAS menggunakan kenderaan polis untuk proses bedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke HoSHAS menggunakan kenderaan polis untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, laluan di lokasi itu juga dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter menyukarkan pencarian pada malam itu.

Bertindak atas maklumat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada Isnin melibatkan pihak polis dan bomba dengan kekuatan 26 anggota menggunakan tiga bot.

"Operasi ditamatkan setelah mayat mangsa ditemui dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini untuk proses bedah siasat," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!