Guna kekerasan paling minimum kecuali nyawa terancam - Polis

Duduk dari kiri: Mohd Sharil, Mohd Azizi, Jagjeet Singh, Muhamad Akmal dan Mustakim bersama Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Desa Bukit Berlian yang menjayakan Program Keselamatan dan Kesejahteraan Bersama PDRM dan JBPM pada Ahad.
Duduk dari kiri: Mohd Sharil, Mohd Azizi, Jagjeet Singh, Muhamad Akmal dan Mustakim bersama Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Desa Bukit Berlian yang menjayakan Program Keselamatan dan Kesejahteraan Bersama PDRM dan JBPM pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan kekerasan paling minimum ketika membantu polis menangkap penjenayah, melainkan jika nyawa mereka diancam.

Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Jagjeet Singh Hazura Singh menjelaskan, wujud situasi di mana polis memerlukan bantuan orang awam untuk menangkap penjenayah berdasarkan keadaan tertentu.

JAGJEET
JAGJEET

Bagaimanapun katanya, orang awam hanya boleh membantu mengikut kemampuan mereka dan tidak boleh melebihi batasan undang-undang.

"Jika kejadian jenayah berlaku di depan mata boleh tangkap (penjenayah). Dibenarkan oleh undang-undang jika dalam pandangan mata. Menjadi tanggungjawab orang awam untuk membantu polis.

"Bagaimanapun orang awam perlu juga memikirkan keselamatan diri mereka. Mula-mula beritahu penjenayah secara lisan supaya hentikan perbuatan itu dan jika ingkar baru gunakan kekerasan yang paling minimum melainkan penjenayah itu guna senjata yang membahayakan dan mengancam nyawa kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Program Keselamatan dan Kesejahteraan Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Taman Desa Bukit Berlian, Kampung Bukit Kapar di sini pada Ahad.

Turut menyampaikan ceramah, Inspektor Mohd Azizi Abdul Hamid dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil; Inspektor Mustakim Ismail dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Sub Inspektor Saifful Rizal Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Polis Balai Meru, Sarjan Mejar Mohd Sharil Abdul Hamid; Pegawai Bomba Kanan II, Saharudin Md Shah dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Bukit Berlian, Muhamad Akmal Suparman.

Saharudin (dua dari kiri) dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kapar menyampaikan ceramah dan mengadakan demonstrasi keselamatan kebakaran kepada penduduk Taman Desa Bukit Berlian pada Ahad.
Saharudin (dua dari kiri) dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kapar menyampaikan ceramah dan mengadakan demonstrasi keselamatan kebakaran kepada penduduk Taman Desa Bukit Berlian pada Ahad.

Program itu turut dijayakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kapar menerusi ceramah yang disampaikan oleh Saharudin dan demonstrasi keselamatan kebakaran kepada penduduk terlibat.

Mengulas lanjut, Jagjeet berkata, orang awam yang bertindak sendiri mengikut emosi dan menggunakan kekerasan berlebihan hingga meragut nyawa penjenayah boleh dikenakan tindakan serta didakwa di mahkamah.

"Kalau nampak kejadian pecah rumah, ada orang menyimpan barang curi, berlaku pergaduhan di tempat awam atau rusuhan kaum misalnya, orang awam boleh bantu polis.

"Kalau ternampak perkara yang menyalahi undang-undang, segera buat aduan mengikut medium yang disediakan seperti aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai supaya jangan membuka peluang kepada perlakuan jenayah dan sentiasa mengambil langkah-langkah yang wajar bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!