Penunggang motosikal maut rempuh lembu tengah jalan
MELAKA - Seorang penunggang motosikal maut tercampak di pembahagi jalan selepas merempuh lembu yang berada di tengah jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, pada malam Ahad.
Dalam nahas kira-kira jam 9.21 malam itu, mangsa, Muhammad Hafizudin Rosli, 27, yang bekerja sebagai operator kilang disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Honda HR-V dipandu wanita berusia 26 tahun dari arah Semabok ke Tiang Dua melanggar lembu yang sedang melintas.
Menurutnya, insiden itu menyebabkan lembu yang mengalami kecederaan berada di tengah-tengah jalan, dalam masa sama sebuah lagi motosikal jenis Honda Stream yang ditunggang Muhammad Syafiq Azani,27, tidak dapat mengelak lalu merempuh belakang SUV terbabit.
"Namun selepas itu datang motosikal mangsa yang menunggang Yamaha 135LC dari arah yang sama gagal mengelak dan merempuh binatang tersebut sebelum dipercayai tercampak.
"Akibat kemalangan itu mangsa maut kerana mengalami kecederaan parah dan mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, dua lagi mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!