Jangan jadikan rakyat mangsa kepentingan politik - Ahmad Zahid
KOTA BELUD - Pemimpin-pemimpin di negara ini diingatkan supaya tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa, atau mempertaruhkan 'harga mahal' bagi mencapai kepentingan politik kelompok tertentu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perbezaan pendapat atau pegangan dalam politik tidak menjadi masalah di negara ini yang mengamalkan sikap terbuka, namun keutamaan perlu diberikan kepada kepentingan rakyat terlebih dahulu.
Justeru, katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha keras dalam memastikan politik negara dipertahankan dan kekal stabil yang mampu membawa pembangunan, pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan seterusnya kesejahteraan kepada rakyat.
"Alangkah baiknya politik negara sentiasa dalam keadaan damai. Pemimpin politik harus pegang janji setelah sesuatu perkara dipersetujui, harus ada kesepakatan, pegang janji dan persetujuan diperoleh jangan jadikan untuk kepentingan kelompoknya, yang seterusnya rakyat pula menjadi mangsa dalam politik.
"Jadikan Sabah ini sebagai contoh untuk kita menyantuni perbezaan dalam kepelbagaian. Kerjasama seperti di Sabah harus dijalankan (jadikan contoh) dan diperkukuhkan demi membawa kesejahteraan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian di sini hari ini.Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, projek tambah baik infrastruktur jalan raya di Kadamaian yang dilancarkan melibatkan peruntukan RM244 juta dilihat mampu menjadi 'game changer' dalam meningkatkan dan menambah baik tahap kehidupan rakyat di kawasan tersebut.
Beliau turut mengumumkan pembinaan 40 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin untuk DUN Kadamaian.
"Saya juga maklum dengan permohonan tambahan Datuk Ewon Benedick yang lain untuk rakyat Kadamaian. Sepertimana komitmen saya hadir hari ini, saya akan pastikan peruntukan diperlukan dapat disediakan mengikut proses yang ditetapkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!