[VIDEO] Pertuduhan bermotif politik, sekat kebebasan bersuara - Papagomo
KUALA LUMPUR - Penulis blog Papagomo menyifatkan pertuduhan menghasut yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, sebagai bermotifkan politik.
Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, berkata, ia tidak lebih kepada tindakan menyekat kebebasannya untuk bersuara dan mengkritik kerajaan.
“Sedangkan sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaung-laungkan kenyataan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948.
“Malangnya hari ini, pertuduhan dibuat supaya dapat menghentikan saya daripada bersuara,” katanya ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.
Wan Muhammad Azri yang mahu dikenali sebagai Sir Azri berkata, pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya mengeluarkan perintah larangan daripada mengeluarkan kenyataan berhubung kes tersebut.
Padahal katanya, rakyat perlu berbicara mengenai kebenaran terutama selepas pentadbiran Kerajaan Madani melepasi jangka masa setahun.
Pada Isnin, dia mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyebut kata-kata menghasut, antaranya mengaitkan kerajaan dengan pro-Israel dan Barat, di laman Facebook 'Halid Hamidi (Halid Mat Kool)' pada jam 1 tengah hari, 8 November tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan bekas Exco Pemuda UMNO itu diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Dalam pada itu, Wan Muhammad Azri berkata, polis Bukit Aman telah membuka 12 kertas siasatan terhadapnya, sejak Jun tahun lalu.
Bagaimanapun dia berkata, hanya satu pertuduhan di mahkamah dibuat membabitkan pertuduhan di bawah akta hasutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!