135 Komuniti Madani bantu hebah kepentingan daftar PADU

Muhd Nor Aswadi (tengah) menyampaikan pek makanan kepada wartawan di Kota Bharu.
Muhd Nor Aswadi (tengah) menyampaikan pek makanan kepada wartawan di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 135 Komuniti Madani digerakkan di Kelantan bagi membantu menyampaikan kefahaman dan informasi kepada rakyat berhubung kepentingan berdaftar dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, peranan dimainkan komuniti itu melibatkan hebahan secara digital dan bersemuka.

Muhd Nor Aswadi
Muhd Nor Aswadi

“Maklumat disebarkan menerusi kumpulan WhatsApp kerana semua orang ada kemudahan itu selain soal jawab turut dilakukan bagi memberi penerangan lanjut.

“JaPen juga turun padang termasuk ke kawasan pedalaman dan kampung-kampung bagi memberi kefahaman kepada rakyat berkait kepentingan mendaftar PADU,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Bantuan kepada Pengamal Media di Pejabat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan di sini pada Isnin.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pengurus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Kelantan, Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.

Pihaknya turut menyarankan pengamal media segera berdaftar PADU selain membantu agensi kerajaan menyebar luas maklumat dan dasar-dasar kerajaan kepada orang ramai.

Menurut beliau, terkini, hebahan berkait PADU digerakkan secara agresif di seluruh negeri ini menerusi Program Info On Wheels (IOW).

Artikel Berkaitan:

“Kesemua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam PADU.

“Sistem ini masih baharu, jadi petugas media yang sudah daftar akan lebih faham selain dapat membantu untuk menyampaikan maklumat tepat berkait PADU,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhd Nor Aswadi berkata, masyarakat tidak perlu bimbang tentang keselamatan maklumat yang diisi dalam PADU kerana kerajaan memberi jaminan maklumat tersebut selamat dan tidak terdedah kepada sebarang ancaman atau kebocoran data.

Ujarnya, pihak Jabatan Perangkaan juga mengambil beberapa langkah bagi membantu orang ramai seperti membuka kaunter dan pejabat di Wisma persekutuan, bangunan Tabung Haji dan di Kuala Krai selain 80 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh Kelantan.

“Kerajaan memantau rapi setiap masa sistem ini dan sekiranya ada kelemahan akan dibaiki segera.

“PADU merupakan sesuatu pengkalan data utama sebagai rujukan untuk memberi perkhidamatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!