Tak sempat larikan lembu curi
RAUB - Empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu milik penternak di Ladang Krau 4, di sini Sabtu lalu.
Suspek berusia 23 hingga 31 tahun berjaya ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di tapak pasar malam Mempaga di sini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Proton Wira yang digunakan menemui dua ekor lembu yang cuba dilarikan.
Menurutnya, tiga suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk siasatan lanjut manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan selepas mengalami kecederaan dalam kemalangan.
"Siasatan awal mendapati, pada awal pagi hari kejadian, beberapa pemilik lembu di ladang itu telah membuat rondaan bagi menjaga ternakan mereka dan telah menyedari kereta tersebut berada di tepi jalan ladang dalam keadaan mencurigakan.
"Ketika mereka menghampirinya untuk pemeriksaan, pemandu kereta telah memecut kenderaan itu melarikan diri menghala ke jalan utama Mempaga-Lebu.
"Beberapa penternak bertindak mengejar kereta tersebut hingga kenderaan dinaiki suspek terbabas di tapak pasar malam Mempaga," katanya.
Mohd Shahril berkata, selepas kemalangan itu, penternak terbabit menghubungi rakan mereka dipercayai pemilik haiwan yang dicuri untuk mengenal pasti lembu yang ditemui dalam kereta suspek.
"Hasil semakan lelaki itu mendapati dua lembu yang ditemui itu adalah ternakannya yang dicuri di ladang tersebut.
"Susulan itu, pemilik lembu terbabit membuat laporan polis kira-kira jam 7.50 pagi hari yang sama," katanya.
Beliau berkata, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan seorang lagi positif amfetamine.
"Suspek ditahan reman selama empat hari hingga Selasa untuk siasatan lanjut berkait kes tersebut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!