Bayi 4 bulan maut: 'Sesiapa pun boleh jadi suspek' - Polis
NILAI - Kecederaan pada bahagian kepala seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang meninggal dunia di rumah pengasuhnya pada Jumaat lalu merupakan kesan kecederaan dialami antara tempoh satu hingga tiga minggu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim berkata, sehubungan itu sesiapa pun boleh menjadi suspek.
"Sesiapa pun boleh jadi suspek kerana kesan kecederaan dialami bayi itu antara tempoh satu hingga tiga minggu.
"Tapi keterangan pengasuh telah pun diambil untuk siasatan lanjut dan wanita berusia lingkungan usia 20-an itu mula menjaga bayi tersebut sejak Disember lalu," katanya dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, polis juga dalam proses mengambil keterangan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Abdul Malik berkata, pada jam 9.30 pagi, Jumaat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah dihubungi Klinik Kesihatan Nilai memaklumkan kematian bayi tersebut.
Pihak klinik memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki empat bulan telah meninggal dunia dibawa oleh seorang wanita dari kawasan Rumah Rakyat Nilai.
Siasatan awal mendapati, bayi itu dijaga oleh wanita tersebut yang mana pada jam 8.30 pagi hari kejadian, wanita itu telah memberi minum susu kepada si mati dan kemudian diletakkan secara mengiring di atas toto.
Bagaimanapun katanya, tidak lama selepas itu, penjaga mendapati terdapat susu yang keluar daripada mulut bayi tersebut.
"Pemeriksaan awal oleh pihak klinik mendapati tiada tanda-tanda bayi itu masih hidup kerana tidak menunjukkan apa-apa tindak balas semasa diperiksa.
"Post mortem dilakukan pada Sabtu di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban mendapati, punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan tiada sebarang kesan kecederaan pada luaran tubuh si mati," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!