Bahana AI: Scammer guna nama, gambar artis jual produk

Siti turut berkongsi perkara ini menerusi akaun TikToknya pada penghujung Disember lalu. ZED ZAIDI
Siti turut berkongsi perkara ini menerusi akaun TikToknya pada penghujung Disember lalu. ZED ZAIDI
A
A
A

KECANGGIHAN teknologi pada masa kini bukan sekadar membawa kebaikan kepada pengguna, tetapi juga mendedahkan masyarakat kepada umumnya kepada penjenayah siber.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) contohnya memberi peluang kepada penjenayah siber seperti scammer mempergunakan wajah dan suara orang lain untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah.

Antara yang paling kerap menjadi mangsa kini adalah beberapa artis terkenal tanah air.

Perkara tersebut didedahkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

Menurut Zed Zaidi, biarpun AI adalah satu kemajuan baharu, tetapi sekiranya tidak dibendung, ia akan membawa masalah kepada ramai pihak.

"Sudah ada artis yang mengadu wajah dan suara mereka digunakan sebagai 'wajah iklan' untuk sesuatu produk, walhal mereka sendiri tidak terlibat langsung dengan produk atau barang tersebut.

"Kalau difikir ikut logik, tak kan lah ada artis terkenal nak jatuhkan imejnya dengan jual seluar dalam. Seorang artis popular mesti nak jaga imej dan reputasinya.

"Bagaimanapun ada juga yang tidak menyedari menjadi mangsa, sebaliknya peminat atau netizen yang menyedari perkara tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tambah Zed, lebih parah lagi, ada pihak yang mempercayai iklan terbabit dengan membeli produk tersebut dan secara tidak langsung memberi keuntungan kepada syarikat yang menjualnya.

"Dapat atau tidak produk saya tidak pasti, tetapi mereka secara tidak langsung memberi keutungan pada syarikat itu. Walhal artis yang digunakan sebagai wajah iklan tidak mendapat apa-apa manfaat," ujarnya,

Pada masa sama, Zed memaklumkan pihak Seniman tidak merancang untuk mengambil tindakan susulan, tetapi mencadangkan kepada Kementerian Digital dan Menterinya, Gobind Singh Deo untuk berbuat sesuatu.

"Kalau kes ini libatkan banyak artis dan artis itu dapat pada Seniman untuk tindakan susulan, baru boleh kita usulkan. Kalau seorang, dua, pihak Seniman cuma boleh uar-uarkan dan merekalah yang perlu ambil tindakan susulan seperti laporan polis dan sebagainya.

"Kalau AI ini tidak dikawal dan dalam masa sama AI ini akan ada penambaikan, tidak mustahil akan lebih banyak kes jenayah yang akan berlaku.

"Atas faktor itu, pihak kementerian juga perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk membendung sebelum ini menjadi barah," tegas Zed.

Bahkan aktor berusia 43 tahun itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melayari aplikasi yang menggunakan AI bagi mengelakkan wajah mereka digunakan secara haram.

"Sekarang ini banyak aplikasi yang boleh ubah muka kita jadi tua, mudalah. Nak layari aplikasi itu kena bersetuju dengan terma syarat, tanpa kita ketahui, aplikasi itu ambil data wajah kita.

"Kalau ikutkan di luar negara, banyak pihak yang tidak bersetuju dengan AI ini kerana telah curi data wajah kita. Kalau dulu orang risaukan alamat, nombor telefon, sekarang kena risaukan wajah kita diguna pakai tanpa pengetahuan," ujarnya.

Terdahulu, Zed menerusi aplikasi TikTok mendedahkan ada artis yang menjadi mangsa AI apabila wajah dan suaranya digunakan untuk mempromosikan penjualan seluar dalam.

Siti Nurhaliza turut jadi mangsa

Pada ruangan komen, beberapa pelayar mengakui pernah melihat Datuk Aaron Aziz dan Lisa Surihani mempromosikan produk seperti kasut dan sebagainya.

Bagaimanapun selepas diamati, wajah mereka sebenarnya telah disunting dan suara itu bukanlah suara sebenar mereka.

Bukan itu sahaja, penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mendedahkan pernah menjadi mangsa scammer apabila videonya disunting dan suaranya ditiru untuk mempromosikan cadar.

"Sebenarnya saya malas nak popularkan scammer dengan cara ini, apatah lagi nak masukkan dalam TikTok saya.

"Jangan guna gambar / video saya untuk menipu dalam perniagaan. Sebenarnya banyak sangat jenama / produk yang guna nama, wajah, gambar, video saya secara menipu dan perkara ini amat menyedihkan kerana ramai juga yang percaya serta terpedaya.

"Saya tiada kilang cadar dan tak jual cadar. Kepada mereka yang menggunakan video saya dan menipu orang ramai, bagi saya senang saja, kalau niat tak baik, pasti akhirnya...faham sendirilah ya," kongsinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!