Ops Payung diaktif di Terengganu jika berlaku gelombang ke-4 - JPNT
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil langkah berjaga-jaga dan akan mengaktifkan Ops Payung sekiranya berlaku banjir gelombang keempat di negeri itu ketika pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPNT, Azman Othman@Abdullah berkata, ia akan digerakkan sekiranya berlaku tiga situasi banjir di negeri itu.
"Untuk situasi pertama, banjir hanya melibatkan pusat peperiksaan, namun kawasan persekitaran rumah calon serta jalan ke pusat peperiksaan tidak terjejas, kita akan memindahkan pusat peperiksaan ke bilik lain yang tidak terjejas banjir.
"Tindakan ini perlu dilakukan lebih awal sebelum banjir berlaku (jika risiko telah dikenal pasti) atau dipindahkan sekiranya air mulai naik di pusat peperiksaan (sekiranya banjir luar jangka).
"Perpindahan tersebut perlu dimaklumkan segera kepada pengawas dan semua calon di pusat peperiksaan tersebut secepat mungkin untuk memudahkan urusan mereka," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Menurutnya, situasi kedua banjir melibatkan jalan menuju ke pusat peperiksaan di mana JPNT akan mengarahkan calon untuk menumpang di rumah saudara mara yang berdekatan sekolah untuk memudahkan pergerakan mereka.
Katanya, calon tersebut juga akan ditempatkan sementara di asrama (bagi sekolah berasrama) sehingga banjir pulih sepenuhnya.
"Sekiranya berlaku keadaan itu kita akan memindahkan pusat peperiksaan ke sekolah lain dalam daerah sama (yang tidak terlibat banjir).
"Banjir situasi ketiga ialah banjir yang menyebabkan pusat peperiksaan dan jalan menuju ke pusat peperiksaan dinaiki air," katanya.
Beliau berkata, JPNT dengan kerjasama agensi lain seperti Pejabat Daerah dan Yayasan Terengganu akan menyediakan pusat peperiksaan alternatif di mana-mana daerah berdekatan jika cadangan pemindahan sebelum itu tidak dapat dilaksanakan.
"Jika berlaku situasi itu, calon dan guru yang bertugas perlu berpindah ke pusat peperiksaan baharu dan berada di situ hingga peperiksaan selesai," ujarnya.
Seramai 18,492 calon SPM berdaftar dengan JPNT untuk menduduki peperiksaan di 176 pusat peperiksaan seluruh Terengganu tahun ini.
Daripada jumlah itu, seramai 3,420 calon akan menduduki peperiksaan di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284), Marang (1,742) 1,469 (Hulu Terengganu) dan 1,130 calon di Setiu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!