Bachok perintis lembu baka wagyu
BACHOK - Jajahan Bachok menjadi perintis ternakan lembu baka wagyu di negara ini apabila ia diusahakan secara intensif.
Ini dapat dilihat apabila 15 ekor lembu baka tersebut berjaya dibiakkan di ladang milik Kelfarm Sdn Bhd di Kampung Seneng, Jelawat di sini.
Menteri Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia bakal mempunyai ternakan lembu baka wagyu sendiri selepas Jepun, Australia dan Thailand kerana ia mempunyai potensi yang cerah jika diusahakan secara bersungguh-sungguh serta sistematik.
"Hal ini kerana permintaan terhadap daging wagyu agak tinggi. Hotel-hotel lima bintang di Kuala Lumpur bukan semua ada menyediakan daging tersebut kerana bekalan masih belum mencukupi.
"Saya amat gembira dengan usaha yang dilakukan golongan bumiputera yang berani menceburkan diri dalam bidang ternakan yang berprestij tinggi," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke projek pembiakan dan penternakan lembu baka wagyu di Kampung Seneng, Jelawat di sini.
Hadir sama ialah, Pengarah Eksekutif Kelfarm Sdn Bhd, Paizol Akman Awang.
Mohamad memberitahu, semua pihak termasuk agensi pusat dan negeri perlu bekerjasama dalam membantu mengembangkan lagi usaha ini.
Ujarnya, usaha itu dijalankan secara intensif di Jelawat, Bachok ini mampu berkembang dengan bantuan sains serta teknologi.
Ahli Parlimen Kota Raja berkata, hal ini kerana ternakan ini memerlukan penjagaan sepenuh masa.
"Saya yakin kalau nak korban (Hari Raya Aidiladha) lembu baka wagyu pun terutama di Kuala Lumpur, Shah Alam, Damansara dan sekitar ada yang mampu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!