Langkah Dubai: AMK lapor polis demi kestabilan politik

AMK Kelantan mahu polis siasat gerakan Langkah Dubai.
AMK Kelantan mahu polis siasat gerakan Langkah Dubai.
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan pada Isnin membuat laporan polis berhubung gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan berkaitan Langkah Dubai itu dibuat oleh Ketua AMK Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini.

Mohamad Ezzat ketika ditemui pemberita berkata, dia membaca laporan media termasuk terbaru berhubung pendedahan berkait gerakan tersebut oleh penulis blog kontroversi, Raja Petra Raja Kamaruddin.

Mohamad Ezzat (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat pada Isnin.
Mohamad Ezzat (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat pada Isnin.

“Langkah Dubai ini sangat jelas bertujuan untuk mengancam kestabilan kerajaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Perkara sebegini mengganggu ketenteraman Persekutuan dan menggugat sistem demokrasi berparlimen dalam negara,” katanya selepas membuat laporan polis itu.

Menurut beliau, laporan polis tersebut juga dibuat kerana komplot seperti Langkah Dubai itu bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara khususnya Akta Anti Lompat Parti yang kini terpakai ke atas parti-parti politik dan ahli-ahli Parlimen.

Melalui peruntukan itu, katanya, tindakan oleh mana-mana pihak untuk menukar Perdana Menteri atau meruntuhkan kerajaan secara terancang pada pertengahan pentadbiran adalah terhalang.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu berwaspada dan tidak mahu perkara ini merebak, sebaliknya lebih baik rakyat menumpukan kepada usaha untuk perkembangan ekonomi.

“Sebarang cubaan untuk mengancam keselamatan negara hingga menimbulkan keresahan dan ketidaktenteraman awam mesti dihentikan demi kestabilan politik,” kata Mohamad Ezzat.

Mohamad Ezzat (dua dari kiri) melihat laporan polis berkait Langkah Dubai.
Mohamad Ezzat (dua dari kiri) melihat laporan polis berkait Langkah Dubai.

Tambahnya, walaupun belum terbukti, beliau yakin Langkah Dubai wujud berdasarkan pengesahan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain kerap ‘dimainkan’ oleh pempengaruh pro parti tertentu.

Justeru, katanya, AMK mahu siasatan dilakukan terhadap penyebar berkait gerakan itu di media sosial kerana boleh menimbulkan kegusaran awam.

“AMK minta siasatan dimulakan terhadap Raja Petra yang membuat kenyataan di media sosial berkait gerakan ini dan terhadap TikTokers lain juga supaya dihentikan segera,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!