Pelabuhan Bintulu diserah kepada Sarawak Jun ini
KUCHING - Pelabuhan Bintulu dijangka diserahkan kepada kerajaan negeri Sarawak pada bulan Jun depan.
Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak dalam kenyataan pada Isnin berkata, kesepakatan bagi memuktamadkan penyerahan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama Persekutuan-Negeri di sini hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusi bersama oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Menurut kenyataan itu satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani bulan depan bagi merealisasikan penyerahan itu.
Menurutnya Kementerian Pengangkutan akan membentangkan Rang Undang-Undang pemansuhan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu, 1981 pada persidangan Parlimen nanti.
"Bagi memastikan operasi pelabuhan Bintulu tidak terkesan dan terganggu oleh proses penukaran status, kerajaan Sarawak akan mewujudkan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) di bawah Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961,” menurut kenyataan itu. - Bernama.
`
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!