Tiga hari terperangkap banjir, 3 pengawal keselamatan diselamatkan

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Kota Tinggi dan Angkatan Tentera Malaysia membuat rondaan mencari dan menyelamat berikutan banjir di Pusat Bandar Kota Tinggi ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Kota Tinggi dan Angkatan Tentera Malaysia membuat rondaan mencari dan menyelamat berikutan banjir di Pusat Bandar Kota Tinggi ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis berjaya membawa keluar tiga pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Kota Tinggi di sini yang terperangkap sejak tiga hari lalu selepas sekolah itu dinaiki air banjir.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya mengetahui kejadian itu selepas mengesan satu sebaran tangkap layar yang tular dalam media sosial berkenaan permintaan bantuan penghantaran bekalan makanan kepada tiga pengawal keselamatan terbabit yang terkandas.

"Ekoran penularan ini, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kota Tinggi menggerakkan kekuatan dan aset pasukan penyelamat terdiri daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Rejimen 33 Artileri Diraja Kem Mahkota Kluang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Tinggi serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Pada jam 4 petang JBPM Kota Tinggi berjaya masuk ke kawasan mangsa terkandas.

"Kesemua mangsa yang berusia 48, 49 dan 51 tahun berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

"Polis Kota Tinggi menasihati orang ramai yang terperangkap dan memerlukan bantuan pemindahan supaya menghubungi PKOB Daerah Kota Tinggi 07-8832158, 07-8832159 atau Bilik Gerakan Banjir, IPD Kota Tinggi menerusi talian 07-8831222 dan 07-8837222," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Pada Isnin, tular dalam Facebook dan WhatsApp berkenaan tiga pengawal keselamatan terbabit mendakwa tidak dapat bergerak keluar kerana SK tersebut dinaiki air dan meminta segera menghantar bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!